Mohd Ridzuan (tujuh dari kiri) menunjukkan simbol jari selepas melancarkan Gerakan Rakyat Bangkit Tolak PATI di TTDI Groove di sini, hari ini.

KAJANG – Satu gerakan menuntut Malaysia bebas daripada pendatang asing tanpa izin (PATI) diwujudkan sebagai usaha membantu kerajaan mengatasi lambakan warga asing secara haram di negara ini.

Gerakan itu dikelolakan oleh Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (Ikhlas) menerusi Sekretariat Negara, Rakyat Bangkit Tolak PATI yang terdiri daripada sukarelawan usahawan.

Presiden IKHLAS, Mohd Ridzuan Abdullah berkata, gerakan itu akan menjadi jambatan dalam usaha membantu kerajaan menyelesaikan masalah PATI.

Katanya, langkah yang diambil oleh gerakan itu adalah dengan membuat bancian terhadap warga asing yang ditemui sekaligus menganalisa maklumat yang diperoleh bagi mencari punca lambakan PATI berkenaan.

“Jika sebelum ini Ikhlas sering mendesak kerajaan supaya bertindak tegas terhadap masalah lambakan PATI, tetapi hari ini kita pula akan bantu mereka dalam menangani masalah itu.

“Kita boleh tahu sebab lambakan PATI ini daripada bancian yang dibuat sama ada masalah berkenaan datangnya daripada majikan atau sebagainya.

“Kita akan kumpulkan segala maklumat yang diperoleh dan akan menyerahkannya kepada Perdana Menteri menerusi memorandum,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette selepas melancarkan Gerakan Rakyat Bangkit Tolak PATI di sini hari ini.

Menurut Ridzuan, langkah itu diambil oleh pihaknya selepas melihat agensi penguatkuasa berkenaan gagal dalam menangani isu yang telah dibangkitkan sejak 2011 lagi.

“Saya tahu punca utamanya adalah melibatkan rasuah dan Ikhlas akan bertindak mengikut suara rakyat di mana banci yang akan dilakukan akan terus disalur terus ke pejabat Perdana Menteri.

“Saya minta agar usaha kami ini tidak diganggu oleh mana-mana pihak dan biarlah kami cuba membantu kerajaan dengan cara ini,” katanya.

Mengulas lanjut Ridzuan berkata, beliau tidak mahu ada pihak memandang serong terhadap usaha yang dilakukan itu kerana ia dibuat atas inisiatif dan rasa tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia yang sayangkan negara.

Sementara itu pengerusi sekretariat gerakan berkenaan, Abd Jalil Nasir berkata, setakat ini seramai 200 orang yang terdiri daripada usahawan di Lembah Klang telah mendaftar untuk menjadi sebahagian daripada anggota gerakan berkenaan.

Katanya, gerakan itu akan cuba mengumpul sehingga 10,000 keahlian daripada pelbagai latar belakang dalam tempoh enam bulan.

Jelasnya, pada masa ini kebanyakan yang datang untuk menyertai gerakan itu adalah mereka yang sudah tertekan dengan keadaan yang berlaku dan mahu berjuang bersama-sama.

“Kita sudah jemu dan muak dengan pelbagai jawapan yang diberikan berhubung isu PATI ini.

“Sebagai rakyat, kita mahu ia diselesaikan segera kerana lambakan PATI ini menimbulkan banyak masalah di dalam negara bukan sahaja dari segi masalah sosial dan jenayah malah, ekonomi negara juga terjejas apabila berlaku aliran mata wang mengalir keluar,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast