Nazir Hussin Akhtar Hussin menunjukkan laporan polis berhubung pemalsuan kepala surat Pejabat Perdana Menteri dan pemalsuan tanda tangan Perdana Menteri yang dibuatnya di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR – Pemuda UMNO hari ini membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, di sini berhubung penyebaran surat palsu yang menggunakan kepala surat pejabat Perdana Menteri dan tandatangan Datuk Seri Najib Tun Razak.

Exco Pemuda UMNO, Nazir Hussin Akhtar Hussin berkata, surat berkenaan yang diterima oleh seorang ahli perniagaan disahkan palsu oleh pejabat Perdana Menteri pada Jumaat lalu.

Beliau berkata, surat itu kononnya daripada Perdana Menteri sendiri yang ditujukan kepada individu-individu tertentu dan disyaki untuk meraih sokongan dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dengan meminta sumbangan dan dana pilihan raya.

“Dalam surat ini juga diberikan satu alamat e-mel kononnya e-mel peribadi milik Perdana Menteri. Saya difahamkan pejabat Perdana Menteri tidak pernah mengeluarkan surat sebegini rupa dan ini jelas satu bentuk serangan untuk menghadapi PRU14.

“Kita yakin ini satu perbuatan jelas nak menjatuhkan kredibiliti Perdana Menteri, satu surat palsu menggunakan kepala surat pejabat Perdana Menteri, penipuan dalam tandatangan Datuk Seri Najib dengan tujuan menjatuhkan kredibiliti beliau dan pejabatnya,” katanya di luar pekarangan IPD Dang Wangi, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Nazir Hussin mendesak pihak polis menjalankan siasatan secara terperinci dalang di sebalik surat palsu berkenaan dan dikhuatiri ia telah dihantar kepada ramai pihak sama ada individu, korporat mahupun syarikat besar.

“Kami yakin bukan sekeping surat ini saja, tapi banyak surat sebegini telah dihantar. Mereka yang terima surat ini diharapkan tampil membuat laporan polis ataupun setidak-tidaknya berhubung dengan pejabat Perdana Menteri untuk pengesahan surat yang mereka terima.

“Kita yakin dan percaya ramai pihak telah menerima surat ini sebab nampak gayanya ini salah satu bentuk cara untuk serang kredibiliti Perdana Menteri,” tegasnya.

Beliau turut menyifatkan pihak yang menyebarkan surat palsu berkenaan sebagai terdesak apabila mesej yang terkandung dalam surat berkenaan Lebih merujuk kepada sokongan dan meminta sumbangan bagi menghadapi pilihan raya akan datang.

“Datuk Seri Najib tak pernah buat surat sebegini rupa sama ada e-mel peribadi atau nak buat surat sebegini kepada orang dan minta sokongan.

“Ini nampak macam terdesak sikit, kita nampak benda ini terancang,” katanya. – MalaysiaGazette