Norul Iman Abd Rahman atau Boy Iman

KUALA LUMPUR – Pelakon Norul Iman Abd Rahman menyanggah pihak-pihak yang mempertikai gelaran ‘Datuk’ dan ‘Doktor’ yang digunakan dalam segala urusannya.

Bercakap kepada pemberita di Majlis Pelancaran DBI Homes di ibu negara, sebuah laman portal melaporkan, Norul Iman atau lebih dikenali sebagai Boy Iman berkata, gelaran Datuk yang dimilikinya itu diperoleh dari Pahang.

Manakala, status doktornya pula sudah dimasukkan ke dalam kad pengenalan yang dikeluarkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara.

“Datuk saya sah dan saya dapat dari Pahang. Manakala status Doktor saya pula sudah dimasukkan ke dalam kad pengenalan saya.

“Kad pengenalan berstatus Doktor ini pun dikeluarkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara, bukan suka-suka boleh letak macam itu,” ujarnya.

Norul Iman mengakui adakala tindakannya tidak disukai orang namun, dia tidak mampu untuk berbuat apa-apa .

“Sebenarnya saya pun seorang manusia biasa saja. Kadang tanpa saya sendiri sedar benda yang saya lakukan rupanya salah, perkara itu orang tidak suka. Tapi saya tak boleh nak puaskan semua hati orang.

“Kadang-kadang banyak juga kontroversi yang berlaku pada diri saya. Antaranya gelaran Datuk saya ambil dari Naning dan pernah juga dikaitkan dengan kakak kepada Emma Maembong, Effa. Ketika itu pula saya ada masalah rumah tangga,” katanya.

Sekitar dua tahun lalu, nama Boy Iman hangat dikaitkan dengan kontroversi bercinta dengan kakak kepada pelakon terkenal Emma Maembong iaitu Effa.

Selepas kontroversi itu senyap timbul pula kontroversi dikatakan Boy Iman membeli gelaran Datuk daripada kerabat Naning.

Satu demi satu kontroversi melanda ke atas diri pelakon itu namun, dia yang pernah ditonjolkan menerusi telefilem Blok 404 dan Kem 505 itu akan cuba untuk menangkisnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast