Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak beramah mesara dengan salah seorang pelajar dari MRSM Pengakaln Chepa, Faiz Alian Mohd Zamre selepas mendegar cerita kehidupan beliau bersama keluarga selepas Majlis Pelancaran Halatuju Transformasi Ekonomi Bumiputra 2.0 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 19 APRIL 2017

KUALA LUMPUR – Kerajaan berjaya memperoleh hasil sebanyak RM108 bilion daripada inisiatif Bumiputera yang diperkenalkan melalui Agenda Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera yang berjalan sejak 2011 lagi.

Perkara itu diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak semasa melancarkan agenda Transformasi Kesejahteraan Bumiputera (TKB) hari ini dimana jumlah tersebut menjadi penanda aras kepada kejayaan kerajaan dalam mengukuhkan kedudukan Bumiputera di Malaysia.

“Melalui kedua-dua Agenda Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera pada tahun 2011 dan 2013 tersebut, Alhamdulillah setakat Mac 2017 sejumlah RM108 bilion berjaya dijana melalui ke semua inisiatif Bumiputera,” kata Najib di sini.

Daripada jumlah itu, sebanyak RM80 bilion adalah daripada peluang perniagaan Bumiputera, khususnya RM54 bilion melalui dasar “Carve-out and Compete” yang dilaksanakan oleh kerajaan.

“Contoh terbaik Carve-out and Compete yang ingin saya kongsikan adalah fasa pertama projek infrarakyat mega yakni MRT jajaran Sungai Buloh-Kajang sepanjang 51 kilometer.

“Bagi projek MRT Fasa 1 sahaja, daripada nilai pakej pembangunan projek RM21.2 bilion, sebanyak 51 peratus diberikan kepada kontraktor Bumiputera,” terang Najib.

Jelas Najib lagi, kontraktor Bumiputera sebenarnya mempunyai kemampuan untuk melaksanakan projek besar bagaimanapun pemilihan mestilah tidak berasaskan kepada kroni sebaliknya berdasarkan merit dan kelayakan sesebuah syarikat Bumiputera itu.

“Ini akan memastikan kontraktor berjaya menyiapkan projek mengikut jadual dan menepati bajet kos pembinaan yang ditetapkan,” katanya.

Selain itu, Najib juga menyatakan komitmen kerajaan untuk terus membantu Bumiputera dalam perniagaan yang dijalankan dengan menyediakan lokasi strategik untuk menjalankan aktiviti perniaganman mereka.

“Bahkan kerajaan komited untuk menyediakan 50 peratus tempat-tempat perniagaan baharu lain yang strategik seperti di stesen-stesen MRT sebagai memberi ruang dan membuka peluang kepada usahawan Bumiputera. Tidak lagi ditempat-tempat yang gelap, tersorok dan langsung tidak mempunyai daya komersil,” ujarnya.

Menurut Najib lagi, kejayaan tersebut disumbang hasil daripada beberapa langkah kerajaan dibawah Dasar Transformasi Nasional, antaranya penubuhan Syarikat Bumiputera Berprestasi Tinggi atau TERAS, dana mudah cara dan Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera. – MalaysiaGazette