Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bersalaman dengan Menteri Pertahanan merangkap Menteri Tugas-tugas Khas, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein ketika menyambut kunjungan hormat pertama beliau di Pejabat Timbalan Perdana Menteri, Putrajaya. foto SAFWAN MANSOR, 19 APRIL 2017

PUTRAJAYA – Tugas utama Datuk Seri Hishammuddin Hussein selaku Menteri Tugas-Tugas Khas bagi memperkukuhkan lagi peranan dan tugas menteri dan timbalan menteri dalam kabinet.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, portfolio baru itu bukan untuk mengambil alih tugas utama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan juga tugas beliau selaku Timbalan Perdana Menteri.

“Saya ingin tekankan sekali lagi, ucapan yang pernah dibuat Perdana Menteri ketika pelancaran Jentera Jalinan Rakyat baru-baru ini, cadangan untuk tugas tambahan ini dibuat saya sendiri tiga bulan lalu dan tugas ini dah dipersetujui oleh Perdana Menteri adalah satu pancaran keikhlasan dari saya secara peribadi dan kepada Hishammuddin sendiri kerana kami bertiga pernah menjadi Menteri Pertahanan jadi kita tahu banyak bidang tugas yang boleh dilaksanakan selain jawatan sebagai menteri pertahanan.

“Penyelesaian beberapa isu yang berbangkit dalam negara atau pun isu luar negara. Oleh itu bebanan dan kesibukan waktu Perdana Menteri dan saya yang membuatkan Hishammuddin untuk mewakili kami bukan secara peribadi tetapi kerajaan Malaysia bukan sahaja untuk memperkukuhkan jalinan dua hala.

“Ianya bertujuan untuk tidak mengambil alih tugas di kementerian lain atau tugas Menteri Luar. Ia untuk memperkukuhkan tugas menteri dan timbalan menteri dan secara amnya untuk membantu Perdana Menteri,” kata pada sidang media di pejabatnya disini hari ini.

Terdahulu, Hishammuddin hari ini melakukan kunjungan hormat kepada Ahmad Zahid selepas dilantik sebagai Menteri Tugas-Tugas Khas.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, pelantikan Hishammuddin kepada tugas baharu itu adalah juga untuk memperkukuhkan kepimpinan kerajaan dan parti secara amnya.

“Saya minta tidak ada sebarang spekulasi, jauh lagi analisis pelbagai bentuknya terutamanya yang negatif terhadap penugasan baru yang diberikan kepada Hishammuddin.

“Saya yakin Hishammuddin akan dapat membantu. Saya akan beri segala sokongan dan dorongan kepada beliau, saya juga akan beri beberapa pandangan bagi menentukan penugasan diberikan ini turut melibatkan perkara-perkara yang ada hubung kait melalui isu rumit yang pernah dilalui pihak kerajaan dan parti dan saya yakin pengalaman panjang Hishammuddin dalam kerajaan dan parti dapat membantu saya,” katanya lagi.

 

Sementara itu, Hishammuddin pula menegaskan, hubungan rapat nya dengan Ahmad Zahid menjadikannya selesa bekerja di bawah portfolio baharunya.

“Hubungan saya dan Zahid bukan hari ini dibina dan saya cukup senang bersama Zahid untuk ke hadapan sebab itu penting untuk kita tunjuk dimana hubungan erat ni di bina dapat diperkukuhkan lagi dan tugas-tugas tambahan yang diamanahkan kepada saya untuk menanti Zahid untuk mengukuhkan parti kita dan memikirkan agenda di peringkat kerajaan.

“Saya dan Zahid begitu lega walaupun banyak cerita berhubung hubungan kita tetapi percayalah kita akan buktikan bahawa ini bukan retorik atau mainan,” kata Menteri Pertahanan itu. -MalaysiaGazette.