Shahril Ridza Ridzuan

KUALA LUMPUR – Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berhasrat untuk meneroka sektor sumber asli dan seterusnya memiliki aset perladangan, penternakan dan penanaman semula hutan pada masa hadapan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Shahril Ridza Ridzuan berkata, sektor sumber asli adalah lebih mapan dan menyediakan pendapatan yang lebih stabil dalam jangka masa panjang.

Menurutnya lagi, kali ini KWSP lebih berminat untuk memiliki aset secara terus dan mempunyai kawalan terhadap syarikat Berbanding hanya sekadar menjadi pemegang kepentingan.

“Kami sedang melihat prospek-prospek berpotensi dan berhajat untuk memiliki aset perladangan secara terus serta mempunyai kawalan terhadap syarikat tersebut dan bukannya sekadar pemegang ekuiti.

“Ia selaras dengan strategi KWSP untuk melaksanakan pelaburan berhemah di samping mempelbagaikan kelas aset, geografi dan mata wang serta ia mampu meningkatkan pendedahan kepada pasaran global pada tahun mendatang.

“Strategi kami menekankan kepelbagaian aset terbukti berkesan ketika berdepan dengan keadaan ekonomi mencabar, membolehkan KWSP mengimbangi semula portfolio dan mengambil keuntungan daripada kelas aset mengikut keadaan pasaran,” katanya semasa sidang media selepas membentangkan Laporan Tahunan KWSP 2016 di sini hari ini.

Dalam pada itu,  KWSP mengumumkan peningkatan aset pelaburannya kepada RM731.11 bilion, naik 6.8 peratus berbanding 2015.

Caruman tahunan juga meningkat sebanyak 2.7 peratus kepada RM61.6 bilion berbanding keseluruhan pengeluaran tahunan sebanyak RM46.8 bilion.

Ini telah menyebabkan aliran masuk bersih sebanyak RM14.8 bilion.

“Tahun 2016 menyaksikan kita beroperasi di dalam keadaan pertumbuhan ekonomi global yang perlahan dan dalam waktu yang sama berlakunya perubahan dasar monetari di beberapa buah negara, kejatuhan harga minyak mentah, kemerosotan nilai ringgit serta perolehan korporat yang menyusut,” katanya.

Tambah Shahril, meskipun berlakunya Brexit serta pilihanraya presiden Amerika Syarikat, KWSP masih mampu meningkatkan aktiviti menjana keuntungan serta menawarkan dividen seperti yang telah diumumkan akhir tahun lepas.

Terdapat peningkatan kelulusan pengeluaran pada 2016 berbanding 2015 yang mana kebanyakan ahli menggunakan simpanan persaraan mereka untuk melunaskan hutang Pinjaman Tabung Pendidikan Nasional (PTPTN) selepas disenaraihitamkan.- MalaysiaGazette