Ahmad Fauzi Zahari

KUALA LUMPUR – Asas perjuangan disebabkan kemarahan semata-mara didakwa menjadi punca utama parti serpihan, Parti Peribumi Bersatu Malaysia (PPBM) mudah berpecah, dengan seorang demi seorang meninggalkan parti tersebut.

Perjuangan yang dibawa oleh pemimpin PPBM hanya bersifat jangka masa pendek kerana didorong rasa tidak puas hati terhadap pemimpin UMNO ketika ini, kata Ahli Parlimen Setiawangsa, Datuk Ahmad Fauzi Zahari.

“Asas penubuhan parti pun tidak menepati perjuangan sebenar, ini kerana penubuhan tersebut adalah berasaskan sebab marah kepada pemimpin tertentu dalam kerajaan sekarang.

“Perjuangan mereka bukan perjuangan jangka panjang, jadi bukan benda pelik kalau satu demi satu keluar dari parti,” kata Fauzi.

Menurut Fauzi, berbeza dengan UMNO dan parti-parti lain adalah mereka memiliki ketahanan dalam berdepan serangan sama ada daripada dalaman atau luaran dan ia terbukti apabila parti serpihan sebelum ini sudah terkubur.

“UMNO BN (Barisan Nasional) ni sudah lama, ditoreh diasak macam mana sekalipun parti kita tetap begitu, kalau dulu ada yang kecewa dengan kita sampai buat parti sendiri, akhirnya mereka juga yang kecundang rakyat nampak kan semua ni?

“Kita tetap jalankan tanggungjawab dengan baik, dari hari pertama diberi mandat sampai lah nak PRU ni, rakyat boleh menilai kembali, belum terlambat buat keputusan untuk memilih BN sebagai parti terbaik pada PRU nanti,” katanya.

Krisis dalaman PPBM semakin meruncing apabila seorang Ahli Majlis Tertinggi (AMT) PPBM, Kamarul Azman Habibur Rahman mengumumkan peletakan jawatan daripada parti itu.

Beliau yang juga Ketua Penaja PPBM Teluk Kemang berkata, keputusan itu dibuat berikutan perjuangan parti itu telah jauh lari dari matlamat asal penubuhannya.

Cikgu Kamarul sebelum itu antara orang paling awal berjuang bersama-sama Pengerusi PPBM, Dr Mahathir melalui Gabungan Ketua Cawangan Malaysia (GKCM). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast