MELAKA – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam siri lawatan sehari ke Melaka hari ini mengumumkan berita gembira buat penerima Projek Perumahan Rakyat (PPR) Tehel, Jasin.
Kesemua 500 penerima rumah PPR hari ini diberikan subsidi sebanyak RM125,000 bagi setiap rumah yang diterima oleh mereka.
Dengan subsidi itu, mereka hanya perlu membayar RM35,000 sahaja untuk seunit rumah.
“Cuba bayangkan harga sebenar PPR Tehel ini adalah RM160,000 seunit. Tetapi harga yang akan dijual hanya pada harga RM35,000 sahaja.
“Mana ada negara-negara lain di dunia yang beri subsidi yang begitu besar kepada rakyatnya,” katanya dalam ucapan penyerahan kunci Program Perumahan Rakyat (PPR) Tehel Jasin hari ini.
Hadir sama Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron, Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan, dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Tan Sri Noh Omar, serta exco-exco kerajaan negeri Melaka.
Sehingga kini terdapat lima PPR yang telah dan siap dibina oleh kerajaan.
Tiga PPR yang telah siap antaranya PPR Sungai Putat sebanyak 336 unit, PPR Tehel 500 unit dan PPR Krubong sebanyak 600 unit.
PPR Klebang pula dibina 255 unit manakala PPR Tangga Batu masih dalam perancangan.
Harga seunit rumah mampu milik dijual tidak melebihi RM180,000 berkeluasan 1,000 kaki persegi yang mempunyai tiga bilik tidur serta dua bilik air.
Bagi rumah kos rendah pula, harga tidak melebihi RM42,000 seunit dengan keluasan 750 kaki persegi.
Dalam pada itu, Najib berkata semua yang dilakukan kerajaan adalah bukti kukuh untuk menangkis fitnah buruk pembangkang yang mendakwa Malaysia menuju ke arah negara bangkrap.
“Sebenarnya projek ini adalah manifestasi negara bukan gagal tapi cemerlang dalam kejayaan. Banyak yang kita boleh banggakan.
“Saya telah lancarkan pusat rehabilitasi yang terbaik di seluruh Asia. Dan antara terbaik di dunia,” katanya dihadapan lebih 500 penerima PPR Tehel hari ini.
Najib hari ini mengadakan siri lawatan sehari ke Melaka selepas berbuat demikian semalam di Temerloh bersama isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor. -MalaysiaGazette.