KUALA LUMPUR – Pelan Induk atau Blueprint pembangunan masyarakat India mencerminkan pendirian, komitmen dan kesungguhan kerajaan Barisan Nasional (BN) meningkatkan taraf sosioekonomi kaum itu, terutama golongan B40.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, pelan induk berkenaan merupakan pelan tindakan mensejahterakan masyarakat India yang pertama disediakan kerajaan, sekali gus menafikan ia gimik politik menjelang Pilihan Raya Umum.
Tambah beliau, pelan itu juga bertujuan merapatkan jurang antara kumpulan etnik dalam pendidikan selain memastikan tahap pencapaian pendidikan minimum kaum India dicapai.
Jelas beliau, pelan yang dilancarkan pada hari ini mengambil dua tahun untuk dirangka.
“Apa yang kita sedang buat ini juga bukan sesuatu yang syok sendiri atau retorik. Bak kata orang, kita bukan beromong-omong kosong, ataupun apa yang disebut dalam Tamil ‘vetti pecchu’, sebaliknya ia adalah ‘nijjam’ atau kenyataan.
“Apa yang saya laporkan kepada anda petang ini adalah kisah-kisah benar pencapaian kita bersama dalam mengubah nasib dan kualiti kehidupan masyarakat India.
“Padahal ini inisiatif utama kerajaan melalui bluprint ini ialah demi meningkatkan pendapatan yang menyeluruh dalam golongan B40 dalam meningkatkan keupayaan mendapatkan pekerjaan, keusahawanan dan penubuhan perniagaan,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran pelan induk itu di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.
Turut hadir Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi; Setiausaha Agung BN, Datuk SEri Tengku Adnan Tengku Mansor; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Ali Hamsa; Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai.
Dalam ucapannya, Najib menegaskan, pelan induk itu disediakan untuk pembangunan masyarakat India dengan empat teras utama iaitu memenuhi keperluan ssas, merealisasikan potensi setiap kanak-kanak, meningkatkan pendapatan dan kekayaan dan meningkatkan penyertaan sosial-ekonomi India.
“Sebahagian daripada blue print ini, kerajaan juga mensasarkan peningkatan penyertaan kaum India dalam perkhidmatan awam sekurang-kurangnya tujuh peratus menjelang 2026 selain intervensi tertentu demi meningkatkan kemasukan pelajar India ke universiti awam juga tujuh peratus,” ujarnya.
Malah katanya, fungsi-fungsi jabatan dan sekretariat di Jabatan Perdana Menteri seperti SEED, SEDIC daa Pelan Tindakan Sekolah Tamil (PTST) akan digabungkan bagi memantau pelan induk itu.
“Sebuah jawatankuasa eksekutif yang dipengerusikan oleh Datuk Seri Dr. S. Subramaniam akan ditubuhkan dan ia akan bermesyuarat dua kali sebulan untuk menyelesaikan isu pelaksanaan dan memantau kemajuan yang dicapai.
“Mungkin ramai yang cakap ini satu lagi pelan, tetapi saya ingin katakan di sini Bleuprint ini adalah pertama untuk negara ini dan julung kali kerajaan tampil dengan inisiatif ini yang bersifat inklusif.
“Kita tidak akan bertolak ansur sama sekali dengan pihak yang cuba memecahbelahkan kita dan akan membentuk satu titi jalinan hubungan yang kukuh antara kita.
“Berasaskan prinsip Blueprint ini saya percaya ia akan membawa satu ‘maatram’ atau perubahan dinamik dan menyeluruh terhaap taraf hidup komuniti India selaras Transformasi Nasional 2050 atau TN50,” katanya. – MalaysiaGazette