Pengarah Komunikasinya, Khalid Abd. Samad berkata, amalan melabel seseorang sebagai pengganas tanpa bukti demi memudahkan penahanan adalah satu amalan yang tidak menghormati hak asasi.
“PAN menolak keganasan dan memandang serius dakwaan yang dibuat kerajaan India terhadap Zakir.
“Sekiranya tiada bukti dikemukakan, maka dakwaan bahawa Zakir ingin ditahan dan diseksa atas sebab kelantangannya dan bukan atas sebab menyokong pengganas, adalah berasas,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu, sebuah mahkamah di Mumbai, India mengeluarkan waran tangkap tanpa jaminan terhadap pendakwah minggu lalu.
Zakir berada di bawah radar kerajaan India selepas laporan media Bangladesh mendakwa dua pengganas yang menyerang restoran Holey Artisan Bakery di Dhaka mengakibatkan 20 orang tebusan terbunuh pada Julai 2016 dipengaruhi oleh khutbah penceramah itu.
Mengulas lanjut, Khalid juga berkata, niat Zakir dipercayai bukan untuk menimbulkan keresahan dalam kalangan mana-mana pihak atau kebencian terhadap dakwahnya.
“Bagi yang biasa mengikuti program beliau, pendekatan penerangan Perbandingan Agama yang merupakan kepakaran beliau, sememangnya dibentang secara amat kritis dan tajam,” katanya.
Beliau turut menyeru semua pihak menangani persoalan ini dengan penuh hikmah dan kebijaksanaan agar api perkauman dan ketegangan agama dapat dielakkan.
Ahli Parlimen Shah Alam juga mendakwa isu kehadiran Zakir ke Malaysia telah dieksploitasi bertujuan untuk mewujudkan ketegangan agama antara orang Islam dan bukan Islam.
“PAN mengutuk usaha mengeksploitasi isu ini bagi mengadu-domba antara penganut agama Islam dan bukan Islam.
“PAN menegaskan ini bercanggah dengan ajaran agama Islam yang menganjurkan kehidupan bersendikan amalan saling kenal-mengenali lantas saling hormat-menghormati,” katanya lagi.- MalaysiaGazette