Dari kanan: Najib Razak bersama Ahmad Zahid Hamidi, Hishammuddin Hussein (dua kiri) dan Shahrizat Abdul Jalil pada sidang media selepas Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO di Menara Dato Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur. foto SAFWAN MANSOR, 26 APRIL 2017.

KUALA LUMPUR – Kerajaan tidak boleh berfungsi dengan baik sekiranya Cukai Barang dan Perkihdmatan (GST) tidak dilaksanakan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, pembangkang boleh buat apa sahaja kenyataan yang sedap di mulut mereka agar didengar oleh rakyat, sedangkan tiada pengalaman dalam mentadbir negara.

Malah katanya, sekiranya tiada GST kerajaan tidak akan memperoleh sumber yang kukuh untuk merencakan pelbagai projek pembangunan sedia ada.

“Kalau mereka dalam pembangkang nak janji sesuatu, mereka boleh buat janji atas sesuatu yang mana mereka tidak perlu buktikan fakta yang sebenarnya, mereka tidak berpijak atas bumi yang nyata, mereka boleh bercakap apa sahaja.

“(Pembangkang) negara lain juga begitu. Waktu mereka kejar sokongan bila menang (PRU) baru mereka tahu (bagaimana) mengendalikan sesebuah negara itu tidak semudah yang dibayangkan semasa bertanding di PRU. Banyak contoh yang kita lihat,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO di Menara Dato’ Onn, Pusat Perdagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.

Hadir sama, Naib Presiden UMNO yang menjalankan tugas-tugas Timbalan Presiden, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein serta barisan kepimpinan UMNO antaranya Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil dan Ketua Pergerakan Puteri UMNO, Datuk Mas Ermiyati Shamsudin.

Tambah Najib, pengundi di negara ini harus faham bahawa pembangkang akan menabur segala janji dan fitnah untuk meraih sokongan pada Pilihan Raya Umum ke-14.

“Kalau kita tolak RM50 bilion dari Bajet memang kerajaan tidak boleh berfungsi sebenarnya dan banyak perkhidmatan hari ini kita beri untuk rakyat yang kita tidak boleh laksana.

“Bayangkan bajet hari ini kerajaan tolak RM50 bilion, tinggal RM210 bilion sahaja, bagaimana hendak (beri) elaun penjawat awam. Sebab itu kita minta mereka cakap yang sebenar. Perkiraan mereka bersifat politik dan tidak berpijak atas kenyataan dan realiti,” jelas Najib.

Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar sebelum ini menyatakan Pakatan Harapan (PH) tidak akan memansuhkan GST jika berjaya menawan Putrajaya pada PRU14 kelak.

Sebaliknya Nurul Izzah berkata, PH akan meneruskan cukai itu dengan menurunkan kadar peratusan semasa yang dianggap tinggi dan membebankan rakyat.

Nada itu nyata berbeza dengan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang menyatakan PH berhasrat menghapuskan tol Jambatan Pulau Pinang, Lebuhraya Utara-Selatan dan GST, jika berjaya menjadi Kerajaan Pusat pada PRU-14.

Malah Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, GST tidak akan dihapuskan kerana ‘itu mungkin menyebabkan beberapa masalah dengan pembiayaan kerajaan’ dan mahu menaikkan cukai korporat menggantikan GST. -MalaysiaGazette.