Najib Razak

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri mahu siasatan kes kematian pelajar madrasah tahfiz swasta yang didakwa didera warden asramanya, Mohd. Thaqif Amin Mohd. Ghaddafi dipercepatkan.

Malah Datuk Seri Najib Tun Razak juga mahu tindakan undang-undang diambil jika didapati suspek melakukan kesalahan.

“Sedih menerima berita pemergian adik Mohd Thaqif Amin di Hospital Sultan Ismail, Johor Bharu dan saya ucapkan takziah kepada keluarga Arwah,” katanya dalam akaun Twitter beliau hari ini.

Mohd. Thaqif yang dijadual menjalani pembedahan memotong tangan kanannya hari ini meninggal dunia pada pukul 2.05 petang tadi.

Prosedur tesebut terpaksa ditangguhkan kerana jantungnya tidak stabil.

Jumaat lalu, kedua-dua belah kaki allahyarham terpaksa dipotong sejak dimasukkan ke Hospital Sultan Ismail, Johor Bahru dua minggu lalu selepas didakwa disebat oleh warden asramanya dengan menggunakan getah paip.

Sementara itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Khalid Abu Bakar yang mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham berkata, polis mengklasifikasikan semula siasatan kes tersebut di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan. – MalaysiaGazette