Pas tetap kuat walaupun berlaku perpecahan

ALOR SETAR – Kalau berlaku ribut dalam Pas, ia dianggap sebagai lumrah kerana parti itu umpama sebuah bahtera besar yang sentiasa selamat sampai ke pelabuhan sepanjang menempuh badai di lautan luas.

Pas juga tidak boleh dipandang remeh oleh parti yang mempunyai jemaah kecil seperti PKR, Parti Amanah Negara (PAN) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) kerana dari segi usianya yang mencecah 66 tahun, ia berpengalaman luas dalam menangani setiap pergolakan.

Bahkan, Pas tahu jika bijak menanganinya, datang ribut taufan pun, akhirnya keadaan menjadi tenang.

Demikian pandangan tersirat seorang penganalisis dan pemerhati politik mesra Pas, Dr. Azman Ibrahim dalam membuat konklusi mengenai badai yang berlaku dalam parti itu selepas memutuskan hubungannya dengan DAP tidak lama dulu.

Yang dibimbangi Dr. Azman ialah pergolakan yang berlaku parti jemaah kecil, yang diibaratkan perahu kolek kecil dan bakal tersesat, mungkin karam sekiranya masuk ke lautan luas.

“Andainya perahu kolek yang kecil ini tersesat di lautan luas, mereka bakal berdepan dengan bahaya, sebab mereka tidak pernah ada pengalaman dipukul bagai,” katanya mengulas mengenai Muktamar Pas kali ke-63 yang bermula esok.

Beliau berkata, sejarah menunjukkan sepanjang tempoh 66 tahun berjuang, Pas tidak pernah sunyi dari pergolakan, tetapi mereka berjaya mengendalinya dan mampu bertahan sehingga kini.

Katanya, pemimpin dan ahli yang tidak tahan dengan pergolakan itu akan mengaku kalah dari awal dan  bertindak meninggalkan parti itu, manakala yang sabar dapat terus bersama Pas memperjuangkan Islam.

“Adanya mereka yang tidak sabar ini akan menambah ganggukan lagi keharmonian Pas. Jenis ini lebih baik biarkan mereka pergi pada parti lain. Itu pun kalau diterima oleh parti baharu,” katanya.

Menurut Dr. Azman, sungguhpun berusia 66 tahun, perjalanan Pas masih jauh dan penuh dengan pancaroba.

“Adalah lumrah bila menempuh perjalanan panjang secara berjamaah, akan ada perbezaan pandangan dan pendapat antara ahli. Ini adalah fitrah,” ujar beliau.

Sehubungan itu, kata beliau, persidangan tahunan Pas kali ini adalah muktamar pasca badai yang melanda pada tahun 2015 dan sebagai salah seorang ahli parti itu, beliau bersyukur melihat ketenangan yang dianugerahkan Allah kepada pucuk pimpinannya. – MalaysiaGazette