Takiyuddin Hassan berucap pada majlis perasmian Muktamar Pas ke-63 di Kompleks Pas Kedah, Kota Sarang Semut, Alor Setar. foto FAREEZ FADZIL, 29 APRIL 2017.

ALOR SETAR – Pas menyifatkan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) ini sebagai paling sengit dalam sejarah perjuangannya.

Ini kerana, menurut Setiausaha Agungnya, Datuk Takiyuddin Hassan, Pas akan berdepan dengan parti yang menganggap diri mereka gagah dan perkasa.

Katanya, Pas tidak gentar dengan apa bentuk ugutan sekalipun kerana dalam usia perjuangan mencecah 66 tahun, parti itu mempunyai kekuatan sendiri.

“Tumpuan utama muktamar kali ini perbincangan mengenai PRU, yang kita sifatkan sebagai paling sengit dalam sejarah.

“Saya berharap perwakilan memberi tumpuan kepada muhasabah diri, selain memberi idea dan cadangan yang tuntas untuk menggerakkan bahtera parti bersama blok ketiga, Gagasan Sejahtera (GS),” katanya.

Beliau berkata demikian pada Muktamar Tahunan Pas kali Ke-63 di Kompleks Pas, Kota Sarang Semut dekat sini, hari ini.

Muktamar dirasmikan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Menurut Takiyuddin, ada parti tertentu mendakwa memperjuangkan Islam cuba memperkecilkan Pas.

Sedangkan, kata beliau, Pas adalah satu-satunya parti yang berdaftar atas nama Islam di negara ini yang mendapat kelulusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS).

“Meskipun Pas dan blok ketiga sering dianggap kerdil oleh sesetengah pihak, kita tetap teruskan perjuangan menghadapi kumpulan yang kononnya menganggap diri mereka gagah dan perkasa.

“Dengan bantuan Allah, insha-Allah kita akan berjaya,” ujar beliau.

Takiyuddin yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu memberitahu, kemenangan Pas di Kelantan, Kedah dan Terengganu pada PRU sebelum ini meletakkan Pas setaraf dengan parti yang memerintah negara.

Katanya, pada usia 66 tahun, Pas sudah stabil dan matang dalam perjuangan sehingga dapat melangsungkan muktamar tanpa sebarang gangguan walaupun parti lain berdepan dengan kemaslahatan untuk mengadakan konvensyen masing-masing.

“Kita ambil langkah teruskan muktamar meskipun parti lain menangguhkan persidangan mereka. Bagi kita, kejayaan ini berpunca daripada jemaah kita yang kuat,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast