ALOR SETAR – Sikap melengahkan masa dalam kalangan perwakilan Pas ketika mengambil bahagian pada sesi perbahasan sering ditegur Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pas Pusat, Hussin Ismail.
Ini kerana, setiap perwakilan diperuntukan masa 12 minit untuk berbahas tetapi ada antaranya telah membuang satu hingga dua minit sebelum menyampaikan hujah.
Ada perwakilan yang tempat duduknya agak jauh dari pentas, berjalan perlahan-lahan menuju ke pentas, selepas itu menghabiskan masa lebih satu minit menyampaikan mukadimah sahaja.
Dalam situasi itu sahaja mereka sudah membazir hampir dua minit dengan masa berhujah masih berbaki tiga minit lagi.
“Perwakilan yang mengambil bahagian diminta duduk di kerusi hadapan. Kita mengejar masa kerana ramai lagi perwakilan akan berbahas,” kata Hussin.
Bagaimanapun, peringatan itu tidak diendahkan perwakilan, dengan masing-masing mencuri banyak masa diperuntukan.
Selepas itu, ketika asyik berhujah dan Hussin mencelah mengingatkan masa hampir habis, perwakilan merungut minta masa ditambah.
Namun, ketegasan Hussin menjaga masa disukai pemerhati kerana berada dalam dewan yang panas sudah tentu merimaskan.
“Saya ada lima point (isu) lagi nak dihabiskan. Minta tuan Pengerusi beri tambahan lima minit. Lagi pun saya dari Sabah. Naik tiga kapal terbang untuk sampai ke sini (muktamar),” katanya sebaik Hussin mengingatkan masa berbahas berbaki 30 saat. – MalaysiaGazette