Othman Mustapha

 

KUALA LUMPUR – Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-106 yang bersidang pada 21 hingga 22 Oktober 2014 telah memutuskan bahawa Islam mengharuskan pemerintah atau Ulil Amri mengutip cukai seperti Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) selagi terdapat keperluan dan maslahah untuk negara serta rakyat.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Tan Sri Othman Mustahpa berkata, sebelum GST dilaksanakan, banyak kajian telah dijalankan secara terperinci untuk melihat tahap keperluannya.

“Kerajaan melaksanakan GST ini bagi memenuhi tujuan ekonomi, tujuan sosial dan kepentingan rakyat meliputi aspek kesihatan, pendidikan, tempat rekreasi, kebajikan dan keselamatan.

“Bahkan, kerajaan dibenarkan untuk mengutip cukai demi memenuhi kepentingan umum (maslahah) ini,” katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.

Semalam, Mufti Pulau Pinang, Datuk Dr. Wan Salim Wan Mohd Noor dilaporkan berkata, pelaksanaan GST oleh kerajaan pada masa kini telah menimbulkan banyak masalah dan menyukarkan kehidupan golongan berpendapatan rendah.

Kata beliau, sebarang tindakan dan polisi membebankan serta menganiayai rakyat adalah haram kerana bercanggah dengan nilai keadilan yang dikehendaki Islam seperti diperintahkan oleh Allah kepada kerajaan untuk menegakkannya.

Menurut Othman, pihaknya memandang serius isu berkaitan GST sebagaimana disiarkan dalam media massa.

Katanya, inisiatif kerajaan ini adalah selaras dengan pandangan para ulamak seperti Ibn Hazm, Ibn al-Musili, al-Syafi’i, al-Syatibi dan Ibn Khaldun yang membenarkan Kerajaan untuk mengenakan cukai kepada rakyat sekadar untuk memenuhi maslahat umum pentadbiran negara.

“GST bukan sahaja dilaksanakan di Malaysia, tetapi juga di negara Pertubuhan Islam Sedunia (OIC) seperti Turki, Maghribi, Pakistan, Mesir, Kazakhstan, Bangladesh, Algeria, Azerbaijan dan Uzbekistan. Malah Arab Saudi juga sedang membuat persiapan ke arah itu,” ujar beliau.

Justeru, beliau menasihati semua pihak supaya memahami dengan lebih teliti kaedah pelaksanaan GST di Malaysia sebelum membuat sebarang kenyataan yang boleh mengundang salah faham di kalangan masyarakat. – MalaysiaGazette