Abdul Khalid Ibrahim

KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim secara terbuka menyatakan Pas mampu untuk mentadbir kerajaan kerana mengamalkan kepimpinan secara amanah dan telus.

Malah katanya Pas mampu untuk mentadbir di negeri-negeri berlandaskan kepada rekod cemerlang di Kelantan yang dipimpin Pas selama lebih 30 tahun.

“Secara objektif dan berdasarkan pengalaman, saya yakin Pas mampu membentuk kerajaan di peringkat negeri mahupun persekutuan di samping menerajui pentadbiran yang amanah, telus, berintegriti dan bertanggungjawab,” katanya dalam kenyataannya selepas menghadiri Muktamar ke 63 di Alor Setar, Kedah semalam.

Pas dalam muktamar berkenaan sebulat suara meluluskan usul untuk menggesa agar Majlis Syura Ulama Pas memutuskan hubungan dengan PKR.

Ekoran tindakan itu, Majlis Syura Ulama Pas dijangka bermesyuarat dalam masa dua minggu selepas usul memutuskan hubungan dengan PKR diluluskan Muktamar ke-63.

Tanpa menyebut negeri mana yang mampu untuk dipimpin Pas, Khalid berkata, Pas tidak boleh dipandang sepi oleh mana-mana parti politik pembangkang mahupun kerajaan kerana mempunyai pengaruh yang kuat di peringkat akar umbi.

“Mendengar hujah-hujah dan merasai semangat kental yang ditunjukkan oleh ahli-ahli Pas di semua peringkat, ternyata Pas bukanlah calang-calang lawan politik yang boleh dipandang ringan.

“Namun, ahli akar umbi, penyokong dan rakyat secara umum pasti mahu melihat para pemimpin Pas terutama mereka yang memegang jawatan di kerajaan negeri, benar-benar mengamalkan apa yang mereka telah laungkan semasa muktamar,” ujar Ahli Parlimen Bandar Tun Razak itu.

Muktamar kali 63 di Kota Sarang Semut itu berakhir semalam bersetuju menerima usul memutuskan hubungan tahaluf siyasi dengan PKR, atas alasan parti itu sudah beberapa kali mengkhianati perjanjian kerjasama.

Perkara itu turut memberikan kesan kepada kerajaan negeri Selangor di bawah pimpinan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Keretakan hubungan Pas dan PKR di Selangor bermula dengan dua isu besar yang menjadi punca kekeruhan hubungan antara Pas dan PKR di Selangor.

Pertama, tindakan Azmin melabelkan pemimpin Pas sebagai ‘Tok Lebai’ dan keduanya kerana Konsert Selena Gomez suatu ketika dahulu di Shah Alam, Selangor.

Sementara iu, dikhabarkan ada empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari PKR akan bertindak melompat parti menjadi ADUN bebas membolehkan kerajaan negeri didominasi Pas menerajui kerajaan Selangor.

Cakap-cakap politik juga kini hangat mengaitkan ADUN Sungai Panjang Budiman Mohd. Zohdi yang kini disebut antara satu dari nama bakal Menteri Besar Selangor selepas membentuk kerajaan campuran baru di Selangor. – MalaysiaGazette.