KUALA LUMPUR – Barisan Nasional (BN) hari ini menyambut baik langkah yang diambil oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang mahu memerangi rasuah secara habis-habisan terutama kes-kes berprofail tinggi yang melibatkan ahli-ahli politik.

Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, BN menyokong apa juga usaha yang dilakukan oleh SPRM bagi memerangi rasuah termasuk membuat pengisytiharan harta sebelum bertanding pada mana-mana Pilihan Raya Umum(PRU).

Malah, menurut beliau, BN pernah mencadangkan supaya pengisytiharan harta dilaksanakan sebelum seseorang manjadi wakil rakyat namun, ditolak oleh pembangkang.

“Kita sokong apa cadangan SPRM dan dia tak hendak. BN sudah sejak kian lama, malah, kita isytihar harta sebelum menjadi ADUN atau Ahli Parlimen.

“Itulah BN, kita dah lama buat, kita dah cadangkan perkara ini diimplimentasikan, tapi pembangkang yang tak nak,” katanya.

Tambah Tengku Adnan, pihaknya akan menapis terdahulu secara terperinci calon-calon yang bakal bertanding pada PRU akan datang sama ada terlibat dalam salah laku rasuah.

Sekiranya didapati bersalah atau terlibat dalam mana-mana kes siasatan yang dilakukan oleh SPRM, calon tersebt serta-merta akan digugurkan daripada menjadi calon.

“Kalau ada apa permasalahan, satu calon yang ada kena-mengena dengan SPRM, kita takkan jadikan dia calon.

“Kalau tiada(kes), kita akan benarkan(bertanding), kalau ada(kes), kita takkan benarkan. Ini amalan lama BN lama dah. Kita sokong SPRM, pembangkang yang tidak sokong.”

Semalam, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Dzulkifli Ahmad menegaskan, pihaknya akan meneruskan usaha memerangi rasuah habis-habisan dengan menangkap pesalah setiap minggu.

Dzulkifli turut memberi amaran keras kepada ahli politik yang tidak berintegriti supaya bersedia menghadapi tindakan tegas SPRM terutama dalam PRU 14. – MalaysiaGazette