Tuan Ibrahim Tuan Man

KOTA BHARU – Parti Amanah Negara (PAN) tidak malu dan payah sedar diri.

Itu reaksi Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man ketika diminta mengulas tindakan PAN menuntut kerusi Exco Kerajaan PKR Selangor yang kini disandang oleh Pas.

“Kalau saya, rasa malu hendak minta jawatan, sebab kita (PAN) bertanding atas tiket parti lain kemudian minta hendak jadi Exco, payah nak sedar diri.

“Saya melihat tidak ada isu daripada segi pentadbiran, rakyat menerima dengan baik, pentadbiran berjalan dengan baik dan pencapaian oleh semua Exco Pas juga sangat cemerlang.

“Bagaimanapun, apabila melibatkan soal parti khususnya hubungan antara Pas dan PKR, kita serah pada Majlis Syura untuk membuat keputusan apabila mengadakan perbincangan nanti. Pada masa ini, pentadbiran berjalan seperti biasa,” katanya dalam sidang akhbar di JKR 10 di sini hari ini.

Yang turut hadir, Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan.

Media hari ini melaporkan, PAN mula memberi tekanan kepada Menteri Besar, Datuk Seri Moha­med Azmin Ali supaya merombak pentadbiran negeri dengan memberi bayangan parti itu sudah bersedia mengambil alih jawatan Exco, kedudukan dalam anak-anak syarikat, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan jawatan di peringkat akar umbi yang ketika ini disandang Pas.

Sementara itu, Tuan Ibrahim menafikan dakwaan kononnya Datuk Mustapa Ali digugurkan daripada jawatannya kerana mempunyai hubungan baik dengan Pakatan Harapan yang didalangi DAP.

Tambahnya, Mustapa telah berjumpa Presiden, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan memberi pandangan supaya jawatan tersebut diberikan kepada pemimpin lain selain memaklumkan bahawa beliau sedia menjadi penasihat kepada parti.

“Dalam pertemuan itu, Mustapa juga memaklumkan bahawa beliau sedia menjadi pembimbing dalam Pas.

“Presiden lihat cadangan Mustapa itu positif dan mengambil Mustapa sebagai penasihatnya,” katanya.  – MalaysiaGazette