PUTRAJAYA – Pembatalan Polisi Kabotaj membuktikan kerajaan mendengar permintaan pelbagai pihak yang terlibat dalam industri.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong berkata, isu polisi itu kerap kali disuarakan oleh pengusaha kecil dan sederhana di Sabah setiap kali dialog dan mesyuarat berkaitan industri diadakan.
Lantaran itu, isu berkenaan telah dipanjangkan kepada Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai.
“Perkara itu dibincangkan dengan lanjut kepada para pemegang kepentingan. Kerajaan telah melakukan liberalisasi sektor itu sejak beberapa tahun lalu dengan memansuhkan pematuhan polisi.
“Penghapusan polisi itu semalam adalah satu langkah utama dalam proses liberalisasi,” katanya dalam sesi dialog bersama ahli-ahli Kelab Juara PKS Malaysia di sini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan penghapusan Polisi Kabotaj yang dilaksanakan sejak tahun 1980 itu dibatalkan mulai 1 Jun ini.
Polisi itu memerlukan barang yang dibeli dari luar negara perlu melalui Pelabuhan Klang dahulu sebelum dihantar ke Sabah.
Penghapusan polisi itu dikuatkuasakan di Sabah, Sarawak dan Labuan. – MalaysiaGazette