S. Subramaniam

SEREMBAN – MIC Negeri Sembilan sedang mengenalpasti calon yang layak untuk bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-14, kata Presiden MIC, Datuk Seri S. Subramaniam.

Beliau yang juga Menteri Kesihatan berkata MIC akan bertanding di satu parlimen, Teluk Kemang dan dua Dewan Undangan Negeri iaitu Jeram Padang dan Port Dickson.

“Proses tapisan sedang dilakukan dalam beberapa peringkat. Kita perlukan tiga calon yang mempunyai peluang paling tinggi untuk menang (PRU) di negeri ini,” katanya kepada media selepas Majlis Peletakan Batu Asas SJK (T) Lorong Java di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri Pendidikan, P. Kamalanathan dan Pengerusi MIC Negeri Sembilan Datuk L. Manickam.

Sementara itu, beliau berkata sejumlah RM4.5 juta daripada dana khas kerajaan persekutuan telah diberikan kepada SJK (T) Lorong Java untuk membina blok tambahan, yang dijangka siap dalam masa dua tahun.

“Apabila siap, ia akan dilengkapi dengan 19 bilik darjah beserta kemudahan lain seperti makmal sains, perpustakaan, bilik mesyuarat dan bilik guru,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast