KUALA LUMPUR – Seorang kanak-kanak yang bertarung nyawa akibat lemas dalam sebuah kolam renang hanya menjadi bahan tontonan pengunjung di sebuah taman tema air.

Mangsa yang kelihatan tercungap-cungap berpusing beberapa kali di dalam kolam meminta bantuan agar diselamatkan.

Menerusi dua rakaman yang dimuatnaik di Facebook EnjoyLifeAtAll, kejadian yang dikatakan berlaku di Vietnam mendapat reaksi netizen yang rata-rata marah dengan tindakan pengunjung-pengunjung taman tema berkenaan seolah-olah tidak mempunyai nilai kemanusiaan.

Berdasarkan pemerhatian pada dua klip video berkenaan mangsa terapung-apung di permukaan air dan beberapa pengunjung lain berada berhampiran dengannya.

Hanya beberapa meter daripada kanak-kanak itu, kelihatan juga sekumpulan lelaki dan wanita dewasa berada di atas batu, sementara jasad kanak-kanak itu masih terapung dan berpusing kerana dibawa arus air.


Hanya di penghujung rakaman itu seorang wanita berenang ke arah mangsa dan menyelamatkannya.

Ketika itu, baharulah kelihatan orang ramai `menyedari’ bahawa kanak-kanak itu sedang bertarung nyawa, dan bukannya melakukan ‘pertunjukan’ dalam air.

Namun menyedihkan, perakam video dan orang ramai tidak menghiraukan keadaan mangsa yang mana mungkin mereka beranggapan bahawa kanak-kanak itu sedang melakukan aksi ‘gaya bebas’ dalam air.

Seorang pengguna Facebook, Azwar Siregar memberikan komen: Kenapa bukan ditolong, tapi hanya tengok? Goblok (gila)

Fird Firdaus berkata; “Merakam video adalah lebih penting daripada menyelamatkan kanak-kanak? Orang yang merakam video ini bodoh…

Ehm Ehm Payba pula berkata; “Kamu (perakam) sudah tahu apa yang berlaku dan masih berpura-pura budak lelaki itu ‘okay’, apa kejadahnya! Adakah kamu semua ini bodoh? Tidak boleh lihat kanak-kanak itu hampir mati dan perlukan pertolongan. Daripada merakam video ini, kenapa kamu tidak menolong kanak-kanak itu? Tiada keperimanusiaan langsung! Semoga Tuhan merahmati kanak-kanak malang ini.

Hsien Yang Khoo pula menulis komen: “Adakah ia di Vietnam? Kamu hanya merakam video tetapi tidak membantu budak itu? Kamu bodoh? Jika kamu salah seorang yang lemas, tiada siapa membantu kamu dan mereka hanya merakam video, nyawa kamu dalam bahaya,” katanya. – MalaysiaGazette