Khaled Nordin

JOHOR BAHRU – Tujuh dekad lalu, UMNO tampil sebagai sebuah gerakan massa yang melahirkan kesedaran orang Melayu, bahawa kemerdekaan dan kebebasan itu adalah hak dan kemuliaan.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor, Dato Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, sepanjang tujuh dekad selepas itu, UMNO cekal memaknakan kemuliaan itu dengan pelbagai pengisian kemerdekaan.

Menurutnya, UMNO menjadi pengerak bangsa dan negara, membina amalan bernegara yang baik serta bersistematik selain menyantuni dan membangunkan orang Melayu agar berdaya saing.

“Malah, UMNO menjadi pencorak amalan demokrasi yang dipimpin kesederhanaan, keterbukaan dan keterangkuman,” katanya dalam perutusan sempena sambutan Ulangtahun ke-71 UMNO.

Menteri Besar Johor itu berkata, UMNO kini harus lebih realistik serta terbuka dan tidak boleh terus sekadar menjadi arkib atau penglipur lara. Yang menyimpan nostalgia dan leka bercerita tentang sejarah panjang tanahair ini dan bagaimana UMNOlah yang ikhlas memperjuangkannya.

Tetapi, tambahnya, UMNO mesti mula melihat keadaan sekeliling dan mendengar seruan serta tuntutan perubahan yang bukan sahaja hadir dari segenap penjuru negeri, malah turut bergema di dalam UMNO itu sendiri.

“UMNO harus memulakan secara serius ikhtiar mencari naratif terbaik untuk terus memimpin bangsa dan negara ini. UMNO mesti bersedia bertutur dalam langgam bahasa perubahan.

“UMNO mesti berani mendekati anak muda dan generasi milenium. Malah, UMNO mesti berupaya mempamerkan kematangan dan kepimpinan yang menjawab cabaran hidup abad ke-21,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap semua ahli UMNO di semua peringkat akan terus bersama-sama mendukung dan memberi kekuatan kepada UMNO.

Agar, UMNO mempunyai keterujaan dan keunggulan baharu untuk ditawarkan kepada orang Melayu dan negara Malaysia sekali gus UMNO menjadi jawapan kepada sebuah masa depan yang lebih baik untuk semua, katanya. – MalaysiaGazette.