Tan Sri Noor Rashid Ibrahim. foto HAZROL ZAINAL, 13 MEI 2017.

KUALA LUMPUR – Penglibatan pelajar sekolah dan penuntut universiti dalam jenayah gangsterisme dan dadah masih fenomena baharu di negara ini.

Malah kejadian yang berlaku sejak akhir-akhir ini mencabar pihak berkuasa mencari kaedah terbaik mencegah sepenuhnya sebelum memudaratkan masa depan mereka.

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim bagaimanapun mengesahkan penglibatan jenayah kongsi gelap, dadah dan gangsterisme dalam kalangan pelajar terkawal dan tidak serius.

“Semua sedia maklum penahanan puluhan pelajar sekolah oleh polis kerana disyaki menganggotai kumpulan kongsi gelap.

“Ada juga pelajar ditahan kerana menjual dadah dan kes terbaharu penuntut univerisiti awam dicekup kerana miliki dadah sangat mengejutkan.

“Namun jenayah seumpama melibatkan pelajar dan penuntut univerisiti suatu perkara terbaharu tetapi masih terkawal, hanya kurang satu peratus sahaja terlibat,” katanya.

Beliau terdahulu merasmikan Seminar Pencegahan Jenayah anjuran Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) dengan kerjasama Polis Kontinjen Kuala Lumpur dan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Tambah Noor Rashid, jawatankuasa khas juga telah ditubuhkan PDRM dan diketuainya sendiribagi mencari kaedah terbaik dan berkesan untuk mencegah secara total jenayah melibatkan remaja dan pelajar sekolah.

Jawatankuasa itu akan membincangkan serta merangka dasar-dasar tetap untuk memerangi jenayah secara habis-habisan, katanya.

“Apabila dasar-dasar itu ditetapkan nanti, kita akan melaksanakan pelbagai program untuk membawa kesedaran dan pemerkasaan diri pelajar supaya mereka dapat diselamatkan daripada terjebak dalam aktiviti tidak senonoh.

“Dalam kes dadah di sekolah dan keanggotaan kongsi gelap, kita tak boleh menghukum pelajar menggunakan undang-undang berat contohnya SOSMA, sebaliknya kita mencari dalang atau buaya disebalik tabir yang meracuni dan mempengaruhi pelajar, memaksa terlibat aktiviti keji ini,” katanya.

Dalam pada itu Naib Pengerusi MCPF, Datuk Kamarudin Md. Ali pula berkata, pihaknya risau isu Islamic State (IS) dan dadah dalam kalangan pelajar sekolah dan universiti.

“Dua ‘najis’ ini perlu diperangi segera dan pelajar kita harus dilindungi daripada terus dipengaruhi pihak yang berada di sebalik kegiatan itu.

“Kita juga akan mengadakan road show atau jelajah keseluruh negara sehingga ke peringkat negeri dan daerah yang mempunyai cawangan MCPF.

“Objektifnya adalah untuk mendekati pelajar, guru-guru besar, persatuan ibu bapa dan guru dan ibu bapa yang seharusnya memainkan peranan besar untuk memerangi jenayah melibatkan pelajar,” tegasnya lagi.

Dalam pada itu Noor Rashid menyeru syarikat-syarikat besar supaya tampil menyokong segala inisiatif MCPF dalam memerangi jenayah.

“Usaha seperti road show dan program ke setiap negeri oleh kami sudah pasti memerlukan sokongan kewangan, jadi saya berharap syarikat-syarikat korporat yang berbesar hati tampil memberi sokongan dalam bentuk sumbangan dana untuk program murni ini,” jelas beliau. – MalaysiaGazette