KUALA LUMPUR – Sindiket rangkaian dadah antarabangsa yang menyeludup masuk kokain seberat 3.8 kilogram ke dalam negara ini berjaya ditumpaskan polis.
Dalam pemeriksaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang sekitar pukul 6 petang pada 12 Mei lalu, pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman dengan kerjasama Pasukan Khas Taktikal dan Risikan Narkotik (STING) berjaya menahan seorang suspek warga tempatan berusia 22 tahun.
Timbalan Komander STING Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Deputi Komisioner Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, suspek merupakan anggota sindiket solo daripada rangkaian sindiket antarabangsa yang berpengkalan di Nigeria.
Tangkapan itu, katanya, dibuat berdasarkan maklumat risikan dari pada Direktorat Jenayah Kebangsaan Polis Togo.
“Hasil pemeriksaan kita menangkap suspek warga tempatan yang hanya bekerja sebagai buruh kasar di sekitar KLIA setelah tiba dari Afrika.
“Siasatan polis juga polis berjaya merampas dadah jenis kokain seberat 3.8 kilogram dalam bentuk 215 biji kapsul disimpan dalam enam tin coklat bersama coklat sebenar sebagai mengkaburi mata penguat kuasa sebelum ditumpaskan.
“Siasatan anjut mendapati dadah itu adalah bukannya untuk kegunaan pasaran di Malaysia tetapi untuk dibekalkan ke negara jiran,” katanya dalam sidang media di Bukit Aman pagi ini.
Sebahagian daripada 215 biji kapsul dadah jenis kokain yang berjaya dirampas oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik pada sidang media di Bukit Aman, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 15 MEI 2017.
Sebahagian daripada 215 biji kapsul dadah jenis kokain yang berjaya dirampas oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik pada sidang media di Bukit Aman, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 15 MEI 2017.
Tambah Arjunaidi, ia merupakan kejayaan pertama polis merampas dadah berupa kokain bagi tahun 2017.
Malah katanya, nilai kokain yang dirampas itu adalah bernilai RM1 juta dan boleh digunakan oleh 19,000 pengguna selain menyita pelbagai mata wang asing bernilai RM1,500 daripada suspek itu.
“Kita juga sedang menjalin kerjasama dengan polis Togo dan Afrika untuk mengetahui berapa kerap suspek pernah ke sini dan jumlah wang yang diupah untuk menjadi keldai sindiket warga Nigeria itu untuk menyeludup kokain ke negara jiran.
“Setakat ini dia bergerak secara solo dan kita sedang menyiasat sama ada terdapat suspek lain dalam rangkaian sindiket Nigeria ini.
“Suspek kini direman tujuh hari bermula 12 Mei lalu sehingga 19 Mei ini dan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,”katanya lagi.
Sejak Januari hingga 11 Mei 2017 lalu, Jabatan Narkotik Bukit Aman berjaya menangkap 69,472 orang berkaitan dadah dan merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM95.68 juta manakala nilai harta yang disita berjumlah RM49.2 juta, harta dilucutkan bernilai RM1.03 juta. – MalaysiaGazette