Zahida Mohamed Rafik

PUTRAJAYA – Aktres Zahida Mohamed Rafik hari ini memenangi rayuan untuk mengetepikan perintah Mahkamah Tinggi supaya beliau membayar ganti rugi RM150,000 kepada bekas pemandunya kerana memfitnah.

Panel tiga anggota Hakim Mahkamah Rayuan terdiri daripada Datuk Lim Yee Lan, Datuk Dr Badariah Sahamid dan Datuk Hasnah Mohammed Hashim turut memerintahkan Noor Azman Azemi supaya memulangkan sejumlah RM200,000 kepada aktres itu yang didakwa diambilnya oleh Zahida.

Mahkamah membenarkan rayuan aktres berusia 42 tahun itu yang turut membintangi ‘Anak Mami The Movie’ untuk mengemukakan tuntutan balas terhadap Noor Azman.

Beliau turut diberi kos RM50,000 bagi prosiding di Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan.

Hakim Hasnah, yang menyampaikan keputusan mahkamah, berkata terdapat kekhilafan boleh dirayu yang dikemukakan perayu (Zahida) untuk mewajarkan campurtangan Mahkamah Rayuan.

Beliau menegaskan bahawa Zahida tidak mungkin telah memfitnah Noor Azman oleh kerana beliau hanya membaca kandungan laporan polis yang dibuatnya terhadap Noor Azman dan kenyataan beliau itu dilindungi di bawah keistimewaan lanjutan daripada laporan polis itu.

Noor Azman, kini pemandu teksi, menyaman Zahida dengan mendakwa aktres itu secara salah dan berniat jahat memberi kenyataan fitnah dalam artikel diterbitkan oleh satu tabloid berbahasa Melayu pada 3 Mac 2012 berhubung kehilangan RM200,000.

Zahida kemudian mengemukakan tuntutan balas terhadap Noor Azman untuk menuntut supaya RM200,000 itu dipulangkan.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Februari 2015 memutuskan bahawa fitnah berjaya dibuktikan oleh Noor Azman berhubung imbangan kebarangkalian dan memerintahkan Zahida supaya membayar ganti rugi RM150,000 kepada Noor Azman.

Mahkamah Tinggi turut menolak tuntutan balas Zahida.

Zahida diwakili peguam Tan Sri Dr Muhammad Shafee Abdullah dan Wan Aizuddin Wan Mohammed manakala peguam Latheefa Koya mewakili Noor Azman.

Latheefa memberitahu pemberita beliau akan membawa kes itu ke Mahkamah Persekutuan.

— BERNAMA

Comments are closed.