LISBON – Masih ingatkah lagi gaya legenda Brazil, Babeto yang menggayakan aksi mendodoi anak ketika meraikan kejayaan negaranya menjulang Piala Dunia 1994?

Ketika itu, Babeto atau nama penuhnya Jose Roberto Gama de Oliveira baharu menimang cahaya mata yang diberi nama Mattheus Oliveira ketika membantu Brazil menjulang trofi Piala Dunia buat kali keempat.

Bebeto menjaringkan tiga gol sepanjang kempen pusingan akhir Piala Dunia yang berlangsung di Amerika Syarikat.

Selepas menjaringkan gol ke atas Belanda pada saingan suku akhir di Dallas, Babeto menjadi popular dengan gaya mendodoi bayi sempena kelahiran anak lelakinya itu.

Semalam, Oliveira meneruskan legasi Babeto apabila mengikat kontrak lima tahun bersama kelab dari Portugal, Sporting Lisbon.

Pemain tengah menyerang berusia 22 tahun itu berpindah dari kelab yang menjadi pesaing Sporting iaitu Estoril selepas memulakan kariernya bersama kelab Flamengo di Rio de Janeiro, Brazil.

Media Portugal mendedahkan nilai rundingan membawa Oliveiro ke Sporting itu sebanyak 2 juta euro (RM9.56 juta) dengan klausa perjanjian bernilai 60 juta euro (RM286.8 juta).

Kelab Sporting Lisbon mengesahkan ketibaan pemain itu dalam kenyataan media.

“Kelab sudah mencapai persetujuan dengan Estoril untuk menyelesaikan perpindahan Mattheus Oliveira.

“Dia menjaringkan enam gol dalam 56 penampilan sepanjang dua musim bersama Estoril,” kata kenyataan itu. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast