Fotografi bersama penyanyi, Jessie Chung pada sidang media Anugerah Platinum Album Be Strong di Shah Alam Performing Arts Center, Selangor, foto HAZROL ZAINAL, 18 MEI 2017.

SHAH ALAM – Penyanyi tempatan, Jessie Chung membuat kejutan di luar negara apabila albumnya berjudul Be Strong mendapat sambutan hebat di Taiwan selepas dilancarkan di negara itu.

Jessie, 33, turut mencipta sejarah kerana dalam tempoh dua minggu sahaja, album Inggeris keduanya itu berjaya menguasai carta-carta muzik dan menguasai senarai lagu di stesen radio-radio di Taiwan.

Lebih membanggakan penghibur bertaraf antarabangsa yang kini menetap di Australia itu, albumnya juga berjaya menduduki tangga nombor satu dalam carta jualan album, Five Music’s International Chart.

“Saya tidak menyangka album Be Strong berjaya menewaskan album artis popular antarabangsa seperti Ed Sheeran yang menduduki tangga kedua, diikuti Adele, Chainsmokers, Ariana Grande, Madonna dan Coldplay.

“Saya terkejut album saya mendapat sambutan hangat di sana kerana sebelum ini para peminat muzik di Taiwan lebih menggemari lagu berentak Balada sedangkan lagu saya berentak Pop Rock,” kata penyanyi kelahiran Kuching, Sarawak itu.

Pengarah Urusan Warner Music Malaysia & Singapura, Darren Choy (kanan) menyerahkan replika album kepada penyanyi, Jessie Chung (dua kiri) pada sidang media Anugerah Platinum Album Be Strong di Shah Alam Performing Arts Center, Selangor, foto HAZROL ZAINAL, 18 MEI 2017.

Dia ditemui pihak media selepas  sidang media Anugerah Platinum Be Strong di Wisma NHF di sini baru-baru ini.

Jessie yang merupakan pemegang Ijazah Perubatan dalam Perubatan Cina dan Western Integrative Medicine-Oncology from Guangzhou University of Chinese Medicine mengakui, gara-gara kejayaan itu, dia menangis selama tiga hari kerana terlalu gembira.

“Saya pernah menangis sebelum bila album pertama berjaya memasuki carta. Inikan pula berjaya menduduki tangga pertama.

“Kali ini saya menangis selama tiga hari. Saya begitu terharu dan bersyukur kerana album saya mendapat tempat di hati mereka malah mereka menyambut baik kehadiran saya di sana.

“Sebagai penyanyi luar, saya akui bukan senang untuk saya menyanyi dan membina karier sebagai seorang penyanyi.

“Tetapi saya tidak berputus asa. Dua tahun lalu, Saya mengikuti kelas vokal sejak dua tahun lalu. Akhirnya usaha dan kerja keras saya selama ini berbalas,” katanya yang peramah itu.

Sementara itu, Be Strong dilancarkan di negara ini pada Disember tahun lalu susulan kejayaan album There You Are.

Be Strong menggambarkan kehidupan Jessie yang memerlukan kekuatan untuk terus hidup dengan bahagia dan ceria serta positif.

Album itu dihasilkan sepenuhnya di Australia, yang memuatkan tujuh buah lagu yang mendapat sentuhan dan nafas baharu untuk semua peminat.

Selain daripada 15 showcase yang bakal berlangsung di Malaysia, Jessie akan menjelajah beberapa buah negara lain seperti Taiwan, Australia, London, New York, Canada, Jepun, Hong Kong, Singapura, China, Filipana, Thailand dan Indonesia bagi mempromosikan album tersebut.

Antara lagu yang terkandung di dalam Be Strong dalah Be Strong, Captured My Heart, Forever Young, Possibility, I Don’t Care, Love Is Coming Home dan Feel My Love.

Muzik video Be Strong dan Forever Young telah dimuatnaik di YouTube dan ditonton lebih tiga juta penonton. – MalaysiaGazette

Fotografi bersama penyanyi, Jessie Chung pada sidang media Anugerah Platinum Album Be Strong di Shah Alam Performing Arts Center, Selangor, foto HAZROL ZAINAL, 18 MEI 2017.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast