KUALA LUMPUR – Syria Care Malaysia (Syria Care) akan menganjurkan Kembara Jiwa & Kemanusiaan Syria Care dalam usaha memberikan pengalaman baharu kepada mereka yang ingin menunaikan ibadat umrah.
Pengerusi Syria Care, Siti Sakinah Meor Omar Baki berkata, pihaknya menyasarkan seramai 300 peserta bagi program yang merupakan satu pengembaraan luar biasa yang merentasi sempadan jiwa dan kemanusiaan.
Uniknya kata Siti Sakinah, kembara itu bertujuan meraih sifat kehambaan serta mengangkat naluri kemanusiaan dalam setiap jiwa peserta yang menyertai.
“Kembara Jiwa & Kemanusiaan Syria Care akan menyusuri bandar bersejarah Istanbul di Turki dan melihat keindahan serta keunikannya serta menziarahi institusi pendidikan sekolah anak-anak Syria di Istanbul.
“Kembara ini juga akan menyantuni anak-anak yatim pelarian Syria, mengadakan wacana ilmu bersama tokoh ilmuan dari Syria serta sesi ramah mesra bersama pelajar Maahad Al-Fatih.
“Selepas itu, peserta kembara akan menunaikan umrah dengan menggunakan perkhidmatan premium yang turut menziarahi tempat-tempat bersejarah di Mekah dan Madinah.
“Sepanjang menunai ibadat itu, siri tazkirah akan diadakan sepanjang berada di Haramain (Mekah & Madinah) selain aktiviti bersama selebriti sepanjang program Kembara Jiwa & Kemanusiaan Syria Care,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis sidang kembara itu di sini baru-baru ini.
Antara selebriti yang turut serta adalah penyanyi popular, Khai Bahar, Azadan dari Kumpulan Rabbani serta Ustaz Amirudin Ismail dari Persada Global Holidays yang akan membimbing sepanjang kembara.
Siti Sakinah menambah, aktiviti-aktiviti yang disediakan sepanjang kembara itu penting bagi mencetus garapan jiwa kemanusiaan kepada ahli rombongan serta membuka lembaran kesedaran serta persepsi terhadap isu dan bencana kemanusiaan yang berlaku di Syria.
“Bencana di Syria digambarkan sebagai bencana kemanusiaan terburuk abad ini dan Syria Care mengambil sepenuhnya tanggungjawab dalam menggerakkan aktiviti serta usaha-usaha kemanusiaan bagi menyalurkan sumbangan dan bantuan kepada rakyat Syria yang menjadi mangsa dinegara sendiri.
“Syria Care juga membuka ruang kepada para penaja anak yatim di bawah Projek Tajaan Anak Yatim Syria Care untuk bersama menyertai kembara ini dengan harga yang istimewa sebagai penghargaan kepada para penaja yang telah menyokong Syria Care dalam menyantuni anak-anak yatim yang berada di dalam Syria,” katanya.
Siti Sakinah turut memuji Persada Global Holidays menyokong usaha ini dengan menyediakan pakej pengembaraan yang istimewa bagi memastikan kembara ini berjalan dengan baik dan lancar.
“NAR Records juga adalah satu jenama label rekod yang tidak asing lagi dalam inudstri muzik. Mereka menyokong sepenuhnya perlaksanaan ini dengan membawa keterlibatan artis popular di bawah naugan mereka iaitu Khai Bahar untuk turut sertai kembara ini.
“Semoga dengan sokongan dari semua pihak, kembara ini akan mencapai objektif utamanya iaitu membina jati diri manusia dan mengangkat kemanusiaan,” katanya. – MalaysiaGazette