BUKIT MERTAJAM – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan tiga anggota polis kerana meminta dan menerima rasuah daripada seorang pemandu kenderaan sebanyak RM500.

Pengarah SPRM Pulau Pinang Datuk Abdul Aziz Aban berkata seorang koperal dan dua lans koperal berusia 26 hingga 28 tahun itu ditahan pukul 4 petang serta 11 malam tadi ketika sedang bertugas di Balai Polis Seberang Jaya, di sini.

“Berdasarkan siasatan, mereka meminta rasuah daripada seorang pemandu kereta yang melakukan kesalahan memandu kenderaan dengan cukai jalan tamat tempoh,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.