Datuk Seri Idris Jusoh
Datuk Seri Idris Jusoh

KUALA LUMPUR – Pemilihan seseorang Naib Canselor atau timbalannya di sesebuah Universiti Awam (UA) masih dipikul sepenuhnya oleh Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT) dan jawatankuasa pemilihan yang bertanggungjawab.

Malah, ia bukan terletak sepenuhnya kepada keputusan muktamad Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), kata Datuk Seri Idris Jusoh har9i ini.

Menteri Pendidikan Tinggi itu berkata, walaupun kelihatan seperti menteri yang meluluskan pemilihan Naib Canselor atau timbalannya, ia hanyalah sebahagian daripada proses pemilihan yang ditetapkan tetapi dilaksanakan secara telus dan berintegriti.

“Pemilihan Naib Canselor dan Timbalan Naib Canselor di UA akan melalui beberapa peringkat penilaian sebelum pelantikan itu dibuat iaitu termasuklah proses pemilihan peringkat awal oleh AKEPT yang menilai setiap calon berdasarkan kemahiran dan potensi calon NC sebelum dirujuk kepada jawatankuasa pemilihan.

“Jawatankuasa Pemilihan biasanya akan membawa dua atau tiga nama mereka yang layak dan berpotensi kepada pihak menteri.

“Walaupun pada akhirnya ia kelihatan seperti menteri yang memilih dan memuktamadkan calon berkelayakan, tapi ia hanyalah sebahagian daripada proses pemilihan dan transparensi yang ditetapkan,” katanya kepada pemberita di Pusat Konvensyen Sime Darby di Bukit Kiara di sini.

Beliau mengulas mengenai cadangan yang dikemukakan Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS), menerusi Prof. Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak yang mahu Univerisiti Awam diberikan kuasa autonomi dalam pelantikan Naib Canselor oleh lembaga univerisiti berbanding menteri.

Idris menabah, pihaknya sedang ke arah proses autonomi yang mana proses penilaian turut dibuat oleh badan-badan korporat dan profesional bagi memastikan calon yang layak dilantik ke jawatan itu.

“Penentuan Naib Canselor dan Timbalan Naib Canselor walaupun dikatakan akhirnya datang ke meja menteri tapi proses pemilihan di peringkat permulaan adalah di tangan AKEPT yang telah membuat tapisan mengukur kemahiran dan potensi mereka kemudian yang ditapis itu dibawa ke jawatankuas pemilihan.

“Ia proses berterusan di mana dilaksanakan secara transparensi dan penilaian sama dibuat juga oleh badan-badan profesional seperti syarikat gergasi Nestle, Shell, Petronas dan badan-badan korporat dan pegawai Sumber Manusia yang melakukan penilaian secara rapi dan profesional,” katanya. – MalaysiaGazette