Pengerusi Gabungan NGO Selangor, Datuk Seri Jamal Md Yunos menunjukkan plan dan peta di mana kawasan tanah hutan milik kerajaan negeri yang dicuri oleh kontraktor untuk menambak Paya Indah Wetlands pada sidang media khas berhampiran kawasan Rehat dan Rawat Dengkil, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 24 MEI 2017.

SEPANG – Tanah milik Kerajaan Negeri Selangor seluas lima hektar di sini didakwa dicuri oleh pihak tertentu untuk menambak kawasan tadahan hujan Paya Indah Wetlands bagi pembangunan bandar baharu.

Pengerusi Gabungan NGO Selangor, Datuk Seri Jamal Md Yunos berkata, pencerobohan ke atas tanah di bawah kawal selia Jabatan Perhutanan Negeri Selangor itu dipercayai mempunyai kaitan dengan kontraktor projek tersebut.

“Amat mengejutkan rupa-rupanya tanah yang digunakan untuk menambak kawasan Paya Indah Wetlands ini yang merupakan tanah gambut.

“Tanah ini dicuri oleh mereka yang tidak bertanggungjawab. Dulu kawasan ini bukit dan sekarang diratakan dan tanahnya dicuri untuk mengambus tasik-tasik paya berkenaan,” katanya kepada pemberita ketika membuat tinjauan tapak tanah bersebelahan Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (ELITE), di sini, hari ini.

Sebelum ini, kawasan Paya Indah Wetlands menjadi kontroversi apabila Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali didakwa menggadaikan kawasan Paya Indah Wetlands semata-mata demi memperoleh dana PRU14 sebanyak RM3 bilion.

Bagaimanapun sehingga ke hari ini, Azmin masih membisu dan enggan mengulas lanjut mengenai kawasan tadahan hujan itu yang diberikan kepada Gamuda Berhad untuk membangunkan bandar baharu dengan nilai projek RM30 bilion.

Pengerusi Gabungan NGO Selangor, Datuk Seri Jamal Md Yunos bercakap kepada media berkaitan kawasan tanah hutan milik kerajaan negeri yang didakwa dicuri oleh kontraktor untuk menambak Paya Indah Wetlands berhampiran kawasan Rehat dan Rawat Dengkil, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 24 MEI 2017.
Jamal juga mempersoalkan pihak berkuasa khususnya Jabatan Perhutanan Negeri Selangor yang terus membiarkan pencerobohan dan kecurian itu berleluasan sejak setahun lalu.

“Di mana pengarah Jabatan Perhutanan ini? Adakah mereka menerima arahan daripada menteri besar supaya tutup mata, tidak ambil tindakan ke atas kontraktor yang mengambil tanah di sini tanpa kebenaran.

“Siapa yang berperanan di sebalik pencerobohan dan pencurian tanah ini? Kalau orang kampung tanam pokok nangka sebatang pun sudah pasti mereka datang kerana tanah mereka dicerobohi tapi di sini beribu lori curi tanah mereka tutup mata,” tegasnya.

Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar itu juga mendakwa jumlah kecurian tanah kerajaan negeri itu dianggarkan bernilai jutaan ringgit.

“Kalau di luar satu lori dikira RM350 selori bagi lori enam tayar. Saya tak tahu berapa ribu lori yang telah ambil tanah,” katanya.

Pada April lalu, Jamal turut meninjau kawasan Paya Indah Wetlands dari udara dengan menaiki helikopter bersama 10 pengamal media untuk melihat sendiri projek bandar baharu berkenaan. – MalaysiaGazette