PUTRAJAYA- Sepuluh individu termasuk ketua polis daerah yang direman baru-baru ini bagi membantu siasatan terhadap dakwaan polis memberi pelindungan kepada pusat judi haram di sekitar Melaka telah dibebaskan di atas jaminan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Anggota polis termasuk dua OCPD yang berkhidmat di Melaka itu dilepaskan dengan jaminan RM50,000 dengan seorang penjamin di mahkamah majistret dekat sini, semalam.
Pada hari ini, di mahkamah yang sama, Majistret Nik Isfahanie Tasnim Wan Ab Rahman membenarkan tiga lagi suspek yang merupakan orang awam untuk dibebaskan dengan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin.
Kesemua individu berusia di antara 31 dan 54 tahun disiasat di bawah Seksyen 16 (a) (B) dan 17 (a) Akta SPRM 2009 dan Akta Anti Penggubahan Wang Haram dan Anti Pembiayaan Keganasan 2001.
Sehingga kini, 13 individu termasuk sembilan pegawai dan anggota polis di Melaka telah ditahan untuk membantu siasatan.
Bagaimanapun, tiga lagi suspek yang mana dua daripadanya pegawai berpangkat Deputi Superintendan dan Asisten Superintendan dan seorang pemandu yang bertindak sebagai orang tengah untuk mengutip wang perlindungan berkenaan masih lagi direman.
Pegawai polis berpangkat DSP daripada Melaka Tengah itu direman selama tujuh hari sehingga 29 Mei manakala pemandu van ditahan sehingga 30 Mei.
Pegawai berpangkat ASP pula ditahan selama tujuh hari sehingga 31 Mei untuk membantu siasatan.- MalaysiaGazette