PUTRAJAYA – Sayap wanita Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Wiranita) telah menghantar surat kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) hari ini mendesak supaya menggantung permit penerbitan akhbar The Star.
Pada masa sama, menurut Ketuanya, Foziah Nawawi, Wiranita Perkasa tidak akan menerima permohonan maaf daripada The Star kali ini kerana banyak kali akhbar itu mengguris umat Islam sebelum ini.
Katanya, sayap pertubuhan itu dan seluruh pimpinan serta ahli Perkasa mahu akhbar berkenaan diberi pengajaran tegas setelah sebelum ini pernah mengguris perasaan umat Islam.
“Tahun 80-an akhbar ini pernah digantung permit penerbitannya kerana melanggar peraturan dan penggantungan ini juga harus menjadi pengajaran kepada media lain.
“Jika tidak diambil tindakan tegas, kami percaya The Star akan melakukan lagi dan kemudian mohon maaf. Pada kami ianya sudah tidak boleh dimaafkan lagi,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini hari ini.
Sekumpulan pemimpin Wiranita Perkasa yang diketuai Foziah menyerahkan surat itu kepada Timbalan Ketua Setiausaha, Bahagian Keselamatan KDN, Datuk Seri Mustafa Ibrahim di Kompleks D, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan di sini, petang ini.
Menurut Foziah, Wiranita Perkasa Malaysia sangat kecewa dan marah dengan tindakan biadab The Star yang telah menyiarkan gambar umat Islam sedang solat berjemaah, sedangkan tajuk berita berkaitan dengan pengganas di muka depan.
Beliau melihat tindakan akhbar itu disengajakan bagi mengaitkan pengganas dengan umat Islam, manakala gambar di kaki muka depan akhbar tersebut iaitu di bawah gambar umat Islam sedang bersujud, ada pula gambar wanita separuh bogel untuk iklan perimis mengurut syarikat tertentu.
“Ini sungguh biadab sekali dan tindakan akhbar ini boleh mencetuskan huru hara dalam negara,” katanya.
Kata Foziah, sebelum ini sudah beberapa kali The Star mohon maaf secara terbuka atas beberapa kesilapan yang dipercayai juga disengajakan iaitu beberapa tahun lepas seperti dalam halaman menu berbuka puasa ada gambar babi panggang dan penyanyi barat dengan tatu Kalimah Allah disiarkan.
“Sejak bila The Star siar gambar babi panggang sebelum-sebelumnya itu dan tidakkah ada rasa sensitif bila terlihat tulisan Jawi yang sepatutnya diperiksa dahulu sebelum disiarkan seperti Kalimah Allah dan Nabi Muhamad dilukis di badan manusia atau bertanya dahulu dengan rakan sekerja penganut Islam kemudian baru fikirkan sama ada boleh disiarkan atau tidak.
“Tetapi bila masyarakat Islam marah senang sahaja mereka mohon maaf dan lakukan lagi. Ianya seperti mempermainkan perkara sensitif yang boleh mencetuskan kemarahan umat Islam,” katanya. – MalaysiaGazette