Johan Qari, Wan Fakrul Razi Wan Mohamad (kanan) dan Qariah, Normalina Alias (kiri) bergambar dengan replika kunci kereta Proton Exora sumbangan Tabung Haji pada Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Kebangsaan (MTHQK) ke 60 di Lembaga Tabung Haji, Kuala Lumpur. foto SAFWAN MANSOR, 29 MEI 2017.

KUALA LUMPUR – Juara qari dan qariah peringkat kebangsaan akan dilantik sebagai ikon jelajah Lembaga Tabung Haji (TH) bagi mencari pelapis qari dan qariah negara.

Menurut Pengerusi TH, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim, TH kini dalam perancangan untuk mengadakan siri jelajah negara bagi membuka peluang kepada rakyat negara ini mendekati bidang tilawah dan hafazan Al-Quran.

“TH akan gerakkan ikon-ikon ini ke seluruh negara menjalankan aktiviti tilawah di peringkat daerah dan negeri-negeri untuk meramaikan lagi pelapis qari dan qariah sebagaimana aktiviti mencari pelapis pemain bolesepak negara.

“Sudah tiba waktunya untuk TH memainkan peranan ini dalam mengcungkil bakal yang terpendam anak-anak muda untuk mereka turut serta dalam aktiviti tilawah Al-Quran,” kata Azeez kepada media.

Azeez berkata demikian dalam majlis penyerahan dua buah kereta Proton Exora sebagai hadiah kepada Johan Qari dan Qariah Majlis Tilawah dan Menghafaz Peringkat Kebangsaan (MTHQK) kali ke-60 di Ibu Pejabat TH, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji, Datuk Seri Johan Abdullah dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Badlisyah Abdul Ghani.

Johan MTHQK ini disandang oleh Qari Wilayah Persekutuan, Wan Fakhrul Razi won Mohamad, 41, manakala Johan Qariah pula dari Negeri Sembilan, Normalina Alias, 35.

Dengan kemenangan itu, Azeez berkata kedua-dua mereka akan dilantik sebagai ikon penggerak kepada program jelajah Al-Quran anjuran TH.

“Itu adalah usaha yang sangat baik, sebab kalau hendak berjaya kena bermula dari bawah. Bakat-bakat baru sangat banyak di negara ini cumanya peluang agak terhad dan tidak ada usaha kearah itu.

“Dengan adanya program seperti ini, boleh mencungkil bakat-bakat baru dalam bidang tilawah,” kata Juara Qari Tilawah Kebangsaan, Wan Fakhrul Razi Wan Mohamad, 41.

Program julung kali ini diharap dapat meningkatkan peratusan qari dan qariah berkuali bagi mewakili negara dalam program tilawah Al-Quran di peringkat antarabangsa.

Ia akan digerakkan Yayasan TH bagi menjalankan program melibatkan johan qari dan qariah yang akan menjelajah ke seluruh pelusuk negara dalam mencari bakat-bakat baharu sebagai pelapis qari dan qariah negara. -MalaysiaGazette.