KUALA NERANG – Kementerian Pendidikan (KPM) telah meluluskan sebanyak 2,261 permohonan pertukaran kes “guru duka lara” daripada 6,636 keseluruhan permohonan kategori itu.
Mereka akan mula berkhidmat di sekolah baharu bulan depan.
Menteri berkenaan, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, kelulusan itu adalah bagi tempoh Januari hingga Jun tahun ini dengan seramai 1,421 guru akan ditempatkan di sekolah rendah dan 840 lagi di sekolah menengah di seluruh negara
“Kita menerima permohonan dalam tempoh itu adalah sebanyak 20,470 orang guru dan daripada jumlah itu yang diluluskan sebanyak 2,825 orang dengan guru kategori kes ‘guru duka lara’ adalah tertinggi mendapat kelulusan iaitu 2,261 guru iaitu 34.1 peratus,” katanya pada sidang media di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Padang Terap, di sini, hari ini.
Katanya, selain kes guru duka lara ialah pertukaran atas alasan tempoh perkhidmatan sebanyak 168 orang, permohonan bersama (166), sakit kronik (37), ancaman keselamatan (15) dan lain-lain (178).
Mahdzir berkata, jumlah kelulusan permohonan penukaran bagi tempoh ini tidak dibuat begitu ramai kerana mengambil kira keadaan guru-guru dan pelajar yang menumpukan proses pengajaran dan pembelajaran.
“KPM ingin menjelaskan pertimbangan kelulusan pertukaran tersebut turut mengambil kira kepentingan perkhidmatan, kekosongan perjawatan serta keperluan opsyen selain mengambil kira kelas-kelas peperiksaan serta opsyen kritikal seperti Bahasa Inggeris dan Pendidikan Islam di sekolah rendah serta Bahasa Melayu di sekolah menengah,” katanya.
Sementara itu, Mahdzir berkata seramai 1,175 orang guru baharu akan ditempatkan di sekolah rendah dan menengah di seluruh negara pada Julai ini.
Daripada jumlah itu, 746 akan ditempatkan di sekolah rendah dan 429 di sekolah menengah.
Katanya, untuk penempatan baharu ini, semua calon diminta akur dengan penempatan mereka kerana dibuat berdasarkan kepentingan perkhidmatan dan jika enggan boleh dianggap menolak tawaran itu.
“Kali ini kita akan keluarkan surat tawaran sekali dengan penempatan, jika mereka enggan dengan tawaran itu, ini bermakna mereka menolak tawaran itu, dan terpaksa memohon semula menjadi guru selepas ini,” katanya.
Dalam pada itu, Mahdzir berkata, bermula pada Januari tahun hadapan semua urusan pertukaran dan penempatan guru akan dilaksanakan secara berpusat atau One Stop Centre di Putrajaya.
“Selepas ini semua urusan pertukaran guru antara negeri hanya akan dilaksanakan di Bahagian Pengurusan Sekolah Harian dan KPM sebagai urusetia dan pertukaran di dalam negeri akan diuruskan oleh Pengarah Pendidikan Negeri masing-masing,” katanya.
Katanya, langkah ini diharap dapat meningkatkan kecekapan dan keberkesanannya dimana tempoh masa yang akan digunakan untuk proses itu dapat disingkatkan, memudahkan rujukan oleh pihak pengurusan KPM dan memudahkan guru berurusan secara setempat.
“Kita berharap apa yang sedang KPM buat ini dapat menyelesaikan banyak masalah khususnya berkaitan ketidakpuasan hati di kalangan guru terutama kes “guru duka lara,” katanya.- BERNAMA