Pembuat kek dan manisan, Safa Roslan menyusun kek di salah sebuah bakeri di Kuala Lumpur. foto MOHD HAZROL ZAINAL,.

KUALA LUMPUR – Bukan para pengguna sahaja yang mengeluh kerana harga ikan dan sayur-sayur naik mendadak pada awal Ramadan ini, tetapi para pengusaha bakeri juga merungut kerana barang-barang keperluan asas turut sama melonjak.

Kenaikan harga produk-produk bakeri membabitkan sekecil-kecil barang seperti pelbagai jenis esen, berbagai-bagai jenis tepung hinggalah mentega.

Usahawan bakeri, Zalina Yahaya berkata, kenaikan harga barangan asas bakeri sangat melampau kerana ia melibatkan bahan-bahan mentah yang menjadi punca rezeki peniaga -peniaga sepertinya

Katanya, kenaikan mentega Anchor sebanyak tiga kali sejak awal tahun memang menyakitkan hati.

Pembekal memberi alasan kenaikan harga mentaga kerana masalah pengeluaran susu lembu yang disebabkan oleh faktor cuaca.

“Bukan sikit-sikit naik dan bukan sekali berlaku kenaikan. Butter Anchor umpamanya, tiga kali naik sejak awal tahun ini. Kenaikan bukan seringgit dua tetapi sehingga beratus ringgit untuk setiap karton.

“Kenaikan yang sangat membebankan kerana saya sudah buat pengiraan kos. Ingat dah ok. Tetapi selepas beberapa bulan, naik lagi. Beberapa bulan selepas itu, naik lagi,” katanya kepada MalaysiaGazette ketika dihubungi di sini.

Zalina berkata, pada tahun lalu harga satu karton mentega Anchor ialah RM425. Itu adalah harga borong kerana beliau membeli secara pukal.

Pada Januari lalu naik lagi kepada RM500 dan sebelum puasa naik menjadi RM565.

Jelasnya, harga yang diperoleh itu adalah kurang sedikit berbanding pembuat-pembuat kek atau biskut yang membuat bisnes secara kecil-kecilan.

“Kalau saya terasa, apatah lagi mereka yang beli barang pada harga runcit. Kalau mahal macam mana kami mahu berniaga. Pelanggan pun semakin berhati-hati berbelanja kerana kos hidup semakin meningkat,” katanya.

Terdahulu, Zalina meluahkan rasa tidak puas hati kenaikan harga barang-barang di Facebooknya.

“Dan kelmarin pembekal cream cheese pula kata harga akan naik lagi RM50 setiap karton.
Itu baru bahan-bahan utama. Belum lagi bahan-bahan sampingan yang lain.

Jelasnya, meskipun bahan-bahan asas bakeri bukan makanan ruji tetapi ia bukan alasan pihak berkuasa melihat isu ini sebelah mata.

“Semuanya naik tanpa ada siapa pun boleh berkata apa. Kenapa tak ada pihak berkuasa peduli? Sebabnya ia bukan makanan ruji yang boleh mengenyangkan perut kita.

“Kalau kita bersuara, akan ada kata-kata nista yang akan kata tak payahlah buat biskut. Tak mati kalau tak makan biskut. Tak payah lah buat kek. Tak makan kek lagi elok. Makan kek boleh gemuk dan bawa penyakit.

“Tetapi kita lupa membuat biskut bukan sekadar memenuhi minat, ia adalah salah satu bentuk aktiviti ekonomi yang menjana pendapatan kepada bukan sahaja tauke biskut dan kek, tetapi juga pada negara.

“Kami membayar GST. Bayar cukai pendapatan lagi,” katanya sambil menambah hasil penjualan biskut dan kek itu juga digunakan untuk membayar gaji pekerja.

Lantaran itu, beliau meminta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) turun padang untuk melihat sendiri kenaikan harga barang-barang keperluan bakeri yang dianggap sudah melampau.

“Sesuka hati naikkan harga tanpa ada kawalan. Perlulah ada campur tangan bagi mengelakkan lebih ramai usahawan (bakeri) gulung tikar.

“Ini adalah mata pencarian kami. Jadi tolonglah kami,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast