KUALA LUMPUR – Perbandingan tahun ke tahun menunjukkan Indeks Harga Pengeluar (IHPR) pengeluaran tempatan meningkat kepada 7.5 peratus pada April 2017.
Kenaikan tertinggi dicatatkan oleh indeks perlombongan (+32.0%) diikuti oleh pembuatan (+5.9%), bekalan elektrik & gas (+4.2%) dan pertanian, perhutanan dan perikanan (+4.0%) namun bekalan air turun 1.0%).
Jabatan Statistik berkata, IHPR pengeluaran tempatan turun 0.9 peratus pada April 2017 berbanding Mac 2017 dipacu oleh penurunan dalam empat sektor iaitu pertanian, perhutanan dan perikanan (-6.1%), perlombongan (-1.0%), pembuatan (-0.5%) dan bekalan elektrik dan gas (-0.3%). Sementara itu, bekalan air naik 0.1%).
IHPR pengeluaran tempatan mengikut peringkat pemprosesan turun 0.9 peratus pada April 2017 berbanding bulan sebelumnya.
Penurunan ini disebabkan oleh penyusutan dalam indeks bahan mentah untuk diproses selanjutnya (-1.9%), bahan perantaraan, bekalan dan komponen (-1.0%) dan barang siap (-0.1%).
Berbanding bulan yang sama setahun lalu, IHPR pengeluaran tempatan mengikut peringkat pemprosesan bagi April 2017 naik 7.5 peratus.
Peningkatan ini disebabkan oleh kenaikan indeks bahan mentah untuk diproseskan selanjutnya (+17.8%), bahan perantaraan, bekalan dan komponen (+6.9%) dan barang siap (+1.4%). – MalaysiaGazette