Dr Hamid Arshat (kiri) bersama Fizo dan Mawar.

KUALA LUMPUR – Isteri kepada pelakon Fizo Omar iaitu Mawar akhirnya disahkan hamil selepas empat tahun berumah tangga.

Berita gembira itu diumumkan oleh Pakar Perbidanan dan Sakit Puan, Dr. Hamid Arshat di laman sosial Facebook miliknya.

Jelasnya, Mawar yang juga usahawan tudung jenama Fareeda itu hamil selepas menjalani beberapa pembedahan dan pelbagai rawatan susulan.

“Setelah menjalani pembedahan dan berbagai rawatan susulan akhirnya dengan izin dan rahmat Allah SWT Mawar hamil.

 “Sekarang dalam peringkat awal kehamilan. Dalam keadaan biasa, risiko gugur sebelum 12 minggu kehamilan adalah dalam lingkungan 10 peratus.
“Risiko ini meningkat bagi mereka yang mengalami masalah kesuburan dan khususnya yang menjalani pembedahan pada peranakannya,” tulis pakar perubatan itu di laman sosialnya itu.

Dalam pada itu, Dr Hamid turut memberi nasihat dan memberi panduan kepada pasangan itu untuk menjaga kehamilan tersebut.

“Banyakkan amal ibadah, solat, baca al-Quran, zikir, selawat dan berdoa terus menerus.

“Banyakkan bersedekah dan menolong orang-orang miskin, tua dan daif khususnya di bulan Ramadan ini.

“Rehat banyak-banyak, tenangkan fikiran dan kurangkan kerja-kerja berat serta perjalanan jauh dan tangguhkan penerbangan.

“Pada asasnya kurangkan stress kerana ia boleh mencetuskan kuncupan rahim dan seterusnya mengancam untuk gugur,” ujarnya.

Dr Hamid turut meminta Mawar agar makan makanan berzat dan berkhasiat segar dan mentah selain lebihkan buah-buahan dan sayur jus buah dan salad.

“Jangan lupa makan multivitamins, folic, vitamin C, vitamin E dan minyak ikan untuk menampung pertumbuhan janin dalam rahim.

“Dalam tiga bulan pertama, penting rahim diperkuatkan dengan hormon progesterone.

“Tentukan cukup tidur antara tujuh hingga lapan jam setiap hari dan hubungan intim suami isteri perlu dikurangkan atau dikawal dalam peringkat awal kehamilan,” nasihatnya lagi.

Dia turut meminta orang ramai agar terus mendoakan kehamilan Mawar sehingga selamat melahirkan seorang cahaya mata.

Fizo atau Wan Hafizul Wan Omar, 32, berkahwin dengan Mawar Abdul Karim, 28, pada 10 November 2013. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast