KUALA LUMPUR – Pesawat Malaysia Airlines, MH128 yang terpaksa berpatah balik ke Lapangan Terbang Tullamarine di Melbourne berpunca daripada penumpang mabuk yang membuat gangguan.

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Ab Aziz Kaprawi berkata, suspek dipercayai warga Sri Lanka.

“Saya ingin menyeru supaya orang ramai tidak menyebarkan sebarang spekulasi membabitkan aktiviti keganasan.

“Malaysia Airlines sentiasa mengamalkan tahap keselamatan yang tinggi dan saya dimaklumkan bahawa semua anak kapal berjaya mengawal penumpang terbabit,” katanya.

Dalam kenyataan terkini daripada Malaysia Airlines pada 12.19 tengah malam, semua penumpang yang sudah meninggalkan pesawat menjalani pemeriksaan keselamatan oleh pihak berkuasa Australia.

Penumpang diberi kemudahan hotel dan ditawarkan untuk menaiki penerbangan seterusnya berdasarkan kekosongan atau menggunakan penerbangan syarikat lain.

Malaysia Airlines akan berkerjasama dengan pihak berkuasa Australia dalam menyiasat insiden yang berlaku.

“Kami ingin menegaskan bahawa tiada unsur pesawat dirampas.

“Keselamatan penumpang adalah keutamaan Malaysia Airlines dan syarikat penerbangan ini memohon maaf atas segala kesulitan yang berlaku,” katanya malam tadi.

Pesawat MH128 yang berlepas dari lapangan terbang Melbourne pada jam 11.11 malam dijadualkan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada jam 5.28 pagi hari ini.

Bagaimanapun, pesawat terpaksa berpatah balik selepas kapten menerima maklumat daripada anak kapal ada kekecohan berlaku apabila penumpang cuba masuk ke kokpit.- MalaysiaGazette

Cubaan merampas pesawat MH128 di Melbourne