Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mempengerusikan Mesyuarat Majlis Halal Malaysia turut hadir Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, Menteri Perdagangan Antarabangsa Dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Menteri Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan di Bangunan Putra Perdana, Putrajaya. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 01 JUN 2017

PUTRAJAYA – Bermula tahun ini, Majlis Halal Malaysia memutuskan untuk menganggotai Board of Directors Standard and Metrology Institute for Islamic Countries (SMIIC), sesuai dengan peranan aktif yang dimainkan kerajaan dalam pembangunan standard dan akreditasi halal global.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, Jawatankuasa Kebangsaan SMIIC yang diterajui oleh Jabatan Standard Malaysia di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) akan menjadi agensi penyelaras kepada semua program di bawah SMIIC untuk Malaysia.

“Majlis Halal Malaysia telah memperakukan cadangan Blueprint Memperkasa Bumiputera dalam industri Halal di mana Blueprint ini akan diselaraskan bersama agenda Transformasi Kesejahteraan Bumiputera (TKB) dan Hala Tuju Transformasi Ekonomi Bumiputera 2.0 (BETR2.0) di bawah TERAJU,” kata Ahmad Zahid.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Halal Malaysia di Putrajaya hari ini.

Turut hadir, Menteri-Menteri Persekutuan, Ketua Setiausaha Negara, Peguam Negara dan Pengerusi-Pengerusi Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) dimana ketua Pengarah JAKIM adalah setiausaha bagi majlis ini.

Menurut Dr Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri, sebanyak tujuh kertas pembentangan daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri serta MOSTI telah dibincangkan dalam mesyuarat tersebut.

“Ia merangkumi tiga kertas pertimbangan dan empat kertas makluman iaitu hala tuju Majlis Halal Malaysia sehingga 2020, inisiatif membangunkan Blueprint Pemerkasaan Bumiputera dalam Industri halal, memperkukuh penglibatan Malaysia dalam aktiviti standardisasi dan akreditasi bidang halal antarabangsa.

“Selain itu, penambahbaikan proses penyampaian perkhidmatan Sijil Pengesahan Halal Malaysia, laporan daripada Sesi Dialog Industri Halal 2017, kemajuan pelaksanaan inisiatif halal Malaysia dalam kerangka pembangunan industri dan kerangka baharu Pelan Induk Industri Halal,” katanya.

Semenjak penubuhan Majlis Halal Malaysia pada 8 Jun tahun lalu pelbagai inisiatif segera dan jangka panjang bagi memanfaatkan peranan semua pihak dalam menyokong pembangunan industri halal negara termasuk menambah baik proses pengeluaran Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) melalui program Halal Fast Force.

JAKIM melaksanakan program Halal Fast Force mulai 1 Ogos 2016 dan sedang memperluaskan ke negeri-negeri secara berperingkat bagi memastikan SPHM dilaksana dengan seragam dan cepat.

Bagi tempoh lima bulan tahun ini sebanyak 977 permohonan SPHM yang diterina dan sebanyak 966 atau 98.8% telah diluluskan oleh JAKIM. – MalaysiaGazette