KUALA LUMPUR – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) diarah melakukan siasatan segera berhubung kematian Pegawai Kadet Laut yang ditemui di sebuah apartment di Sepang semalam.
Arahan itu dikeluarkan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishamuddin Hussein susulan kematian Zulfarhan Osman Zulkarnain yang meninggal dunia akibat didera.
Menerusi Twitter, Hishamuddin melahirkan rasa sedihnya dengan berita kematian pegawai kadet berusia 21 tahun itu.
“Innalillah…sedih dan pilu dengar berita kematian Pegawai Kadet Laut, Zulfarhan Osman Zulkarnain. Al Fatihah,” katanya.
Hishamuddin menegaskan, tiada siapa yang akan terlepas daripada tindakan undang-undang jika didapati bersalah.
Pegawai kadet laut tahun tiga UPNM itu ditemui dengan kesan melecur dipercayai ditekap dengan seterika wap di bahagian dada, tangan dan kakinya.
Sementara itu laman portal Berita Harian melaporkan, polis menahan 36 individu malam tadi terdiri daripada penuntut UPNM dan orang awam untuk siasatan bagi kes itu.
Menerusi siasatan awal, polis mendapati wujud unsur penderaan hingga menyebabkan kematian. – MalaysiaGazette