KUALA TERENGGANU – Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Terengganu mengesan kes hawar berdarah atau Haemorrhagic Septicaemia (HS) di daerah Kuala Terengganu.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri Dr Azman Ibrahim berkata, kes pertama dilaporkan pada 7 April lepas melibatkan kematian 25 daripada 120 ekor kerbau milik enam penternak berkelompok Kampung Dusun Tembakau, Manir, di sini.
Beliau berkata susulan itu, bedah siasat dan kerja-kerja persampelan telah dijalankan untuk kawalan dan disahkan positif hawar berdarah pada 22 April.
“Tindakan kawalan dan pencegahan iaitu notis arahan kuarantin telah dikeluarkan kepada penternak semalam mengikut Seksyen 18 Akta Binatang 1953.
“Surat makluman larangan pemindahan keluar dan masuk lembu atau kerbau dari beberapa kampung terlibat juga telah dikeluarkan bagi mengekang penularan penyakit hawar berdarah dalam lingkungan lima kilometer dari lokasi wabak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pengecualian pemindahan dibenarkan tetapi hanya untuk tujuan ke rumah penyembelihan milik JPV di Gong Badak, Kuala Nerus dan rumah sembelih swasta berlesen kepunyaan Jusoh Tok Rimau di sini.
Dr Azman berkata, larangan pemindahan yang melibatkan tujuh mukim di Kuala Terengganu dan Kuala Nerus itu berkuat kuasa bermula semalam hingga satu tempoh yang akan dimaklumkan kelak.
“JPV juga telah menyediakan bantuan kandang kepungan (korel) bagi tujuan kuarantin ternakan dan memudahkan program rawatan serta pemantauan terhadap ternakan bergejala.
“Bantuan nyahkuman atau dekontaminasi iaitu satu tong kapur berklorin telah diagihkan kepada penternak untuk mengurangkan risiko penyebaran wabak yang boleh berlaku melalui sentuhan cairan atau lendir haiwan berpenyakit,” katanya.
Beliau berkata, pada tahun ini JPV telah memberikan 343 suntikan vaksin HS di kawasan berisiko banjir di daerah Setiu, Dungun dan Kuala Nerus. – BERNAMA