KUALA LUMPUR- Sebanyak RM3.4 juta diperuntukkan untuk pemasangan 4,337 unit lampu jalan di Negeri Sembilan.

Ia merupakan sebahagian daripada peruntukan RM100 juta yang disediakan oleh kerajaan bagi menyediakan 111,833 unit lampu jalan di seluruh negara, di bawah Program Lampu Jalan Kampung (LJK).

Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang bertindak sebagai agensi pelaksana bagi LJK fasa kelapan berkata, peruntukan itu melibatkan 433 buah kampung.

Pelancarannya dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak dalam Majlis Berbuka Puasa di Masjid Paroi Jaya, semalam.

Pelaksanaan projek itu membolehkan pergerakan penduduk kampung menjadi lebih selesa dan selamat apabila kawasan yang dahulunya gelap ketika malam atau dinihari, terang disinari cahaya lampu jalan.

Menurut TNB, pada fasa satu hingga fasa tujuh LJK, sebanyak 300,000 unit lampu jalan kampung telah dipasang di seluruh negara dengan kos RM150 juta.

Di Negeri Sembilan 18,300 unit telah dipasang.

Kerajaan Persekutuan menerusi Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah melaksanakan LJK sejak tahun 2003, menerusi program Bekalan Elektrik Luar Bandar dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB) merupakan agensi pelaksana projek.

Daripada 111,833 unit lampu dipasang pada fasa lapan ini, sebanyak 6,333 unit adalah lampu jenis LED atau Light Emitting Diode manakala selebihnya ialah jenis High Pressure Sodium Vapour (HPSV).

Bagi Negeri Sembilan, 337 unit lampu adalah jenis LED. – MalaysiaGazette