Mohd Sayuti Omar

KUALA LUMPUR – Seorang penganalisis mesra pembangkang mencabar Pas Kelantan mengadakan Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi mengisi kekosongan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri.

Mohd Sayuti Omar memberitahu, inilah masa sesuai untuk Pas menguji sejauhmana parti itu mendapat sokongan rakyat selepas berpecah sehingga wujudnya parti baharu, Parti Amanah Negara (PAN).

Beliau berkata, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, Datuk Abdullah Ya’kub tidak wajar sekadar memberitahu kepada umum mengenai kekosongan kerusi itu kerana wakil rakyatnya, Datuk Mat Yusoff Abdul Ghani telah diisytiharkan muflis oleh Jabatan Insolvensi.

“Biarlah persoalan Mat Yusoff itu diserahkan kepada parti mereka. Apa yang hendak diberi pencerahan dan pandangan di sini ialah kepada Speaker DUN Kelantan, kekosongan yang berlaku di Nenggiri itu bukan boleh dianggap takdir atau dibiarkan berlaku begitu sahaja.

“Sebenarnya kekosongan itu satu peluang baik bagi kerajaan negeri yang diperintah oleh Pas sebagai testimoni untuk membuktikan kekuatan Pas masih mendapat sokongan rakyat seperti 22 tahun lalu.

“Pas di zaman Menteri Besar, Datuk Ahmad Yacob perlu diuji sama ada kekuatannya masih utuh sebagaimana di zaman Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat diera kepimpinannya awal 90-an dulu,” katanya yang mengulas perkembangan itu dalam blognya.

Semalam, Abdullah mengisytiharkan kerusi DUN Nenggiri dalam Parlimen Gua Musang menjadi kosong setelah menerima notis dari Jabatan Insolvensi Selangor yang memaklumkan Mat Yusoff telah muflis.

Pengisytiharan itu dibuat mengikut Perkara 31(1)(b) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Kelantan, yang menyebut mana-mana wakil akan hilang kelayakan sebagai wakil rakyat apabila diisytihar muflis.

Menurut Mohd Sayuti, perkara elok yang harus dilakukan Speaker DUN Kelantan ialah menggunakan budi bicaranya meminta Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) memanggil PRK di kawasan itu.

Jelas beliau, tidak berbangkit penggal DUN Kelantan sudah mencapai tiga tahun kerana kalau mengikut peraturan, mana-mana kerusi kosong tidak perlu mengadakan PRK lagi sekiranya kekosongan itu tidak menggugat kedudukan kerajaan.

Bagaimanapun, ujarnya, dengan mengambil kira pandangan Pengerusi SPR Kelantan, Fakhrul Razi Ab. Wahab, PRK boleh diadakan sekiranya Speaker DUN Kelantan berkehendakkan demikian.

“Ertinya tempoh tiga tahun itu bukan mutlak untuk tidak diadakan pilihan raya. Memanglah keperluan untuk diadakan PRK tidak relevan dan tidak sesuai lagi memandangkan pilihan raya umum akan diadakan tidak lama lagi.

“Tetapi, masanya masih ada kalau Pas ingin menjadikan PRK DUN Nenggiri itu sebagai medan menguji kekuatannya dan pada masa sama medan untuk menguburkan seteru baharunya PAN.

“Pemimpin Pas mendakwa PAN tidak ada kekuatan dan ia akan hanyut begitu sahaja, maka PRK inilah peluang keemasan untuk mencacatkan PAN,” katanya. – MalaysiaGazette