KLUANG – Sebanyak 20 pusat mengundi membabitkan 109 saluran bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota ditutup serentak tepat pukul 6 petang ini.
Semua peti undi akan dibawa ke Dewan Tunku Ibrahim Ismail, di sini, untuk proses penjumlahan undi rasmi.
Terdahulu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan seramai 31,275 pengundi biasa telah melaksanakan tanggungjawab untuk memilih wakil rakyat bagi mewakili DUN Mahkota.
Jumlah itu bersamaan dengan 47.16 peratus daripada keseluruhan 66,318 pengundi berdaftar yang layak mengundi setakat pukul 4 petang.
Angka itu sama sekali tidak mencapai sasaran SPR yang meletakkan peratusan keluar mengundi sebanyak 60 peratus menjelang tempoh masa pengundian.
SPR turut menjangkakan proses penjumlahan undi rasmi selesai dilakukan pukul 9 malam ini.
Selepas undi dikira, SPR akan mengumumkan siapakah akan memenangi PRK DUN Mahkota sama ada rakyat memilih calon Barisan Nasional (BN), Syed Hussein Syed Abdullah atau calon Perikatan Nasional (PN), Mohamad Haizan Jaafar.
PRK DUN diadakan susulan kematian penyandangnya, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 64, pada 2 Ogos lalu. – MalaysiaGazette