LONDON – Sekurang-kurangnya tujuh dikhuatiri terbunuh dalam dua kejadian yang dirumuskan sebagai serangan pengganas di tengah kota London.

Kedua-dua serangan itu berlaku menjelang pilihanraya pada 8 Jun ini dan kurang dua minggu selepas insiden serangan berani mati  di konsert Ariana Grande di Manchester yang mengorbankan 22 orang.

Agensi media antarabangsa melaporkan, dua penyerang yang bertindak langgar lari dan menikam mangsa di London Bridge dan pasar Borough telah ditembak mati. Kedua-duanya diisytiharkan sebagai pengganas.

“Pada jam 12.25 pagi waktu tempatan kejadian di London Bridge dan pasar Borough diisytiharkan sebagai tindakan pengganas, ” kata polis menerusi Twitter sepertimana dilaporkan AFP.

Dalam kejadian yang menggemparkan itu, seramai 20 mangsa dibawa ke hospital di ibu kota England itu, kata Perkhidmatan Ambulans London.

Gambar kejadian menunjukkan salah seorang lelaki yang disyaki bertanggungjawab terhadap serangan tersebut terbaring dengan bahan letupan diikat pada badan, selepas dia ditembak mati polis.

Perbadanan Penyiaran British (BBC) melaporkan, penyerang disyaki itu kelihatan terbaring di luar pub Wheatsheaf di pasar Borough di London. Seorang lelaki lain turut kelihatan terbaring tidak jauh daripada suspek dalam gambar itu.

Datuk Bandar London, Sadiq Khan mengutuk kejadian tersebut sebagai tidak bertamadun.

Katnya, rempuhan van di London Bridge dan serangan di sebuah restoran di pasar Borough adalah serangan yang disengajakan.

“Ia adalah serangan disengajakan dan pengecut ke atas penduduk London yang tidak bersalah dan pengunjung bandar raya ini yang mahu menikmati malam minggu.

“Tiada apa mewajarkan serangan tidak bertamadun ini,” katanya.