Ahmad Zahid Hamidi
BACHOK – Unit Anti Keganasan Polis Diraja Malaysia akan dinaik taraf kepada bahagian bagi menggalas tanggungjawab lebih besar dalam mencegah keganasan daripada berlaku di negara ini.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata bahagian berkenaan yang akan ditempatkan di Bukit Aman akan diketuai seorang pegawai paling kanan.

“Insya-Allah kita berhajat untuk menjadikan unit anti keganasan bukan lagi unit tetapi bahagian anti keganasan, ini sebagai tanda keprihatinan kerajaan menolak peristiwa keganasan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri program penerapan nilai-nilai murni pada bulan Ramadan di Masjid Mahmudi, di sini malam ini.

Turut hadir Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed, Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Ahmad Jazlan Yaakub dan Ketua UMNO Bahagian Bachok Datuk Dr Awang Adek Hussin.

Majlis tersebut turut meraikan warga Kementerian Dalam Negeri serta anak-anak yatim dan ibu tunggal.

–BERNAMA