Aktivis Kebajikan, Alex Lee (kiri) bersama Azira Abd Aziz menunjukkan gambar Tengku Nur Arianna Tengku Nash Irwanuddin di kediamannya di Seksyen 13, Shah Alam. Foto Nizam Zain

 

SHAH ALAM – Peluang untuk anak kepada pasangan suami isteri Tengku Nash Irwanuddin dan Azira Abd. Aziz pulih daripada penyakit leukemia yang dihidapinya masih ada harapan jika dana RM600,000 dapat dikumpulkan dalam masa terdekat.

Aktivis Kebajikan, Alex Lee berkata, dana tersebut diperlukan untuk memastikan rawatan penyakit leukemia atau barah darah yang dideritai Tengku Nur Arianna dapat diteruskan di Pusat Perubatan Subang Jaya (SJMC).

Katanya, Arianna memerlukan perbelanjaan sehingga RM30,000 setiap kali menjalani rawatan kimoterapi, khususnya untuk ubat-ubatan khas yang diimport dari luar negara.

“Arianna sekarang berada di unit rawatan rapi (ICU) SJMC, setiap kali dia ambil ubat (mesti) dari luar negara yang sangat jarang ditemui. Harga ubat ini bila datang ke Malaysia sangat mahal, mungkin satu ubat RM20,000 hingga RM30,000.

“Berapa banyak nak pakai ubat ini pun kami susah nak anggar sebab doktor pun tak beritahu hal ini. Kalau ubat itu boleh meresap (berkesan), mungkin tak sampai RM600,000 dan jika tiada Arianna mungkin boleh maut,” katanya pada sidang media di kediaman pasangan berkenaan di Seksyen 13, di sini, semalam.

Leukemia yang dihidapi Arianna mula dikesan sejak tujuh tahun lalu ketika dia berusia enam tahun.

Pada peringkat awal, kos rawatan Arianna berjumlah RM300,000 dibiayai oleh syarikat insurans.

Bagaimanapun dana itu tidak mencukupi dan memaksa pasangan itu mencagarkan kediaman mereka kepada bank dan bantuan kewangan daripada saudara-mara yang mencecah RM200,000.

Ibunya, Azira, 39, merupakan seorang pegawai penyelidik di Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (MPIC).

Memandangkan hanya SJMC sahaja mempunyai kepakaran dalam rawatan leukemia dan thalassemia untuk kanak-kanak di negara ini, Azira terpaksa mendapatkan dana daripada kerajaan sehingga RM500,000 untuk menanggung kos perubatan susulan.

Sejumlah RM300,000 daripada dana kerajaan itu pula perlu dibayar oleh Azira secara ansuran sebanyak RM1,000 sebulan sehingga bersara.

“Ibunya pernah minta rawatan di hospital kerajaan, termasuk Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) dan Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM).

“Tapi PPUKM keluar satu surat mengatakan mereka tiada kepakaran ini, sebab itu ibunya terpaksa pindahkan anaknya ke SJMC, di mana hospital ada seorang pakar, iaitu Prof Lin Hai Ping, dia yakin boleh mengubati adik Tengku Nur Arianna,” kata Alex.

Alex juga menyambut baik keprihatinan mana-mana pihak yang mahu menghulurkan bantuan kewangan bagi membiayai kos perubatan Arianna di SJMC memandangkan ibu bapanya sudah membelanjakan kesemua wang simpana mereka.

“Kalau hospital mahu buat kimoterapi atau buat pembedahan, hospital akan maklumkan kepada saya anggaran kosnya dan saya akan ambil sebutharga itu bawa ke yayasan untuk buat tuntutan.

“Biasanya saya buat macam ini, sebab saya tak mahu dana awam ini disalahgunakan. Saya tak mahu orang buruk sangka. Saya mahu semuanya telus,” jelasnya.

Alex turut berkata, ibu Arianna turut bersetuju sekiranya anak perempuannya sembuh seperti sedia kala, dia mahu menyumbangkan dana itu diberikan kepada pesakit barah yang lain.

“Ibu Arianna juga bersetuju jika anaknya sembuh dan tidak perlu pakai wang ini lagi, dia nak dermakan wang ini kepada pesakit barah lain,” katanya.

Semua sumbangan boleh dibuat dalam bentuk cek atas nama Guan Ming Ribao Sdn. Bhd. (Dana Kebajikan), melalui United Overseas Bank (Malaysia) Bhd, nombor akaun bank 172 305 5356.

Penderma juga perlu meletakkan nama pesakit yang ingin dibantu di belakang cek tersebut.

Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi yayasan ini di talian 04-2226783 atau nombor faks 04-2226783 ataupun emelkan kepada [email protected]. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast