PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menolak kemungkinan kematian seorang pegawai polis berusia 29 tahun di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Puteh, Kelantan dengan kesan tembakan di kepala Khamis lalu ada kaitan dengan kes yang disiasat agensi tersebut.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Dzulkifli Ahmad berkata, berdasarkan siasatan dan maklumat yang diterima, kematian Inspektor Ahmad Al-Syamir Sharif Folidin yang bertugas di Jabatan Siasatan Jenayah dan Komersial (JSJK) tidak melibatkankan SPRM.
“Tiada kaitan langsung, sepanjang maklumat yang saya terima tiada kaitan dengan siasatan SPRM,” kata Dzulkifli ketika ditemui media di Putrajaya hari ini.
Mayat Ahmad Al- Syamir ditemukan maut pada pukul 9.40 pagi di pejabatnya dengan kesan tembakan di kepala.
Pemangku Ketua Polis Kelantan, Senior Asisten Komisioner Din Ahmad berkata, arwah yang tidak menghadiri mesyuarat di IPD pagi Khamis ditemukan mati dalam keadaan terduduk di atas kerusinya.
Sementara itu, ketika ditanya laporan muka hadapan akhbar The News Strait Times mengenai empat lelaki termasuk tiga bergelar ‘Datuk’ didakwa menyalahgunakan koperasi di bawah jagaan mereka, Dzulkifli berkata, pihaknya akan melakukan siasatan dalam masa terdekat.
“Kita tunggu dalam masa terdekat, kita akan ambil tindakan dalam masa terdekat,” katanya.
Menurut akhbar berkenaan keempat-empat individu itu kebanyakan adalah ahli lembaga koperasi sebuah syarikat milik kerajaan (GLC), didakwa menyalahgunakan kedudukan mereka, bukan sahaja memperkenalkan sistem sendiri berdasarkan pemasaran pelbagai peringkat (MLM) dalam koperasi, tetapi juga dari segi teknikal memaksa ahli-ahlinya untuk mendaftar.
Ahli tersebut yang memohon pinjaman dikatakan perlu mendaftar untuk MLM berkenaan jika mahu mempunyai permohonan mereka diluluskan.
Ia melibatkan kos sebanyak RM6,700 dan sebagai balasan mereka akan mendapat produk kecantikan kononnya dengan nilai yang banyak.
Satu sumber memberitahu NST bahawa keempat-empat mereka telah mengaut keuntungan berjuta-juta ringgit pada tahun kebelakangan ini dengan menyalahgunakan kuasa mereka. -MalaysiaGazette